• kemelut politik
1 / 1
KELMARIN berlaku tiga perkara menarik di dalam krisis Menteri Besar Selangor yang masih berlarutan.
Pertama, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan dalam keadaan rela dan gembira yang sekaligus menjawab semua fitnah yang dilontarkan pada dirinya pada beliau rakus kuasa.

Khalid telah membuktikan sekali lagi bahawa “what he says is what he does.” Selama ini, beliau bertegas untuk mengeluarkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor perlu melalui proses yang betul.

Beliau terima keputusan PKR mengambil langkah memecat beliau daripada membuat undi tidak percaya di DUN. Beliau juga menunjukkan sikap professionalnya terhadap Sultan Selangor tanpa membuat sebarang keputusan yang tergesa-gesa.

Selamat bersara buat Tan Sri.

Perkara kedua ialah Sultan Selangor meminta dengan baik Pas, PKR dan DAP untuk menghantar lebih daripada dua nama untuk dipilih baginda untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Yang seterusnya menyebabkan berlakunya perkara menarik ketiga di mana hanya PKR dan DAP mengeluarkan kenyataan bersama bahawa mereka bertegas untuk menamakan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal – seolah-olah sebagai MB untuk menerajui kerajaan PKR-DAP tanpa Pas.

Di dalam kenyataan mereka, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua memberikan hujah bahawa parti-parti dalam Pakatan Rakyat hanya mencalonkan Abdul Khalid sahaja di 2013 walaupun istana turut meminta lebih daripada satu.

Hujah DAP dan PKR bimbangnya tidak berapa kuat dan mudah dipatahkan.

Ada beza pemilihan Menteri Besar di 2008 dan 2013.

Di 2013, nama Abdul Khalid diterima walaupun hanya nama calon dihantar ke istana kerana Abdul Khalid ialah Menteri Besar di penggal yang lepas. Jadi Sultan Selangor menerima keputusan Pakatan Rakyat untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Jika ketika itu, Pakatan Rakyat inginkan orang baru menjadi menteri besar, rasanya pihak istana Selangor juga akan meminta lebih nama sebagaimana sekarang.

Apa pula yang berlaku di 2008? Betul ke Pakatan Rakyat hanya menghantar satu nama ketika itu? Memandangkan kenyataan Saifuddin dan Pua tidak menyentuh tahun 2008, kemungkinan besar ketika itu beberapa nama turut dihantar untuk diperkenan Sultan.

Jadi, ada beza proses untuk mengekalkan Menteri Besar Selangor yang ada, dan mengambil seseorang yang baru untuk menjadi Menteri Besar Selangor daripada kalangan yang ada. Rasanya itulah yang menjadi pertimbangan istana Selangor.

Barangkali lebih mudah untuk menghantar lebih, dan sertakanlah dengan bukti di tangan yang mendakwa sudah ada calon di antara mereka yang mempunyai majoriti mudah untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor untuk dipilih Sultan Selangor – satu permintaan yang boleh memenuhi kehendak pelbagai pihak.

Orang pun akan nampak cara ini lebih halus, berhemah dan sopan berbanding dengan apa yang berlaku sekarang.

Ingatlah, mangga mudah dibuka jika menggunakan anak kunci yang kecil tanpa merosakkan apa-apa berbanding gergasi mahupun tukul. Kerana bertegas nak gunakan gergasi mahupun tukul, barangkali pintu dah rosak pun mangga masih belum dapat dibuka.