• Datuk Mohd Amar Nik Abdullah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
1 / 1
KUALA KRAI -  Pas Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan PKR Kelantan untuk mengetengahkan hasrat akar umbi yang mahukan calon Pas bertanding pada PRK Dun Pengkalan Kubor.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau sedar kerusi Dun Pengkalan Kubor sebelum ini meletakkan calon PKR tetapi perjumpaan dengan pemimpin parti itu perlu untuk mengetengahkan hasrat akar umbi.

“Sehingga kini belum ada kata putus berkaitan calon di Dun Pengkalan Kubor dan kita tunggu mesyuarat sehari dua lagi, bila ada suara akar umbi kita akan sampaikan kepada PKR.

“Pas Kelantan akan mendengar respons PKR berhubung kerusi Dun Pengkalan Kubor,” katanya kepada pemberita sempena Sambutan Kemerdekaan Negara Kali Ke- 57 di Kem Sungai Durian, Kuala Krai, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan ketua- ketua jabatan.

Mohd Amar berkata, Pas Pusat  dimaklumkan mengenai pertemuan itu untuk membincangkan kehendak rakyat akar umbi, begitu juga PKR diberitahu secara tidak rasmi.

Menurutnya, walaupun kerusi Dun Pengkalan Kubor bukan milik Pas sebelum ini tetapi parti itu telah menyediakan jentera untuk membantu PR memenangi PRK kali ini.

Sementara itu, pada sidang media sama ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar Selangor, Mohd Amar mahu semua pihak akur titah sultan.

Menurutnya sejarah membuktikan Sultan menentukan calon untuk mengisi jawatan itu seperti yang berlaku di beberapa negeri sebelum ini seperti Terengganu dan Perak.

Beliau menegaskan Pas tidak akan  menyenaraikan calon dari parti itu kerana kerusi Menteri Besar Selangor milik PKR.