• Ahmad Yakob Ahmad Yakob
1 / 1
RANTAU PANJANG – Pas Kelantan yakin isu calon PRK Pengkalan Kubor boleh diselesaikan dengan baik dengan PKR tanpa berlaku perebutan.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, nama calon berkenaan hanya akan diumumkan selepas perbincangan oleh peringkat pimpinan.

Beliau berkata, keputusan hanya akan dirumuskan selepas perbincangan tersebut tetapi tidak menyatakan sama ada calon itu daripada parti Pas atau PKR.

“Tidak ada sebarang perselisihan untuk kerusi ini kerana keputusannya akan dibincangkan menerusi mesyuarat. Tiada tarikh ditentukan lagi tetapi saya jangkakan ia akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya selepas merasmikan Masjid Al-Musleh dekat Pusat Tarbiyyah Pas Rantau Panjang, semalam.

Ahmad mengakui Pas Kelantan belum membuat keputusan memilih calon bagi mengisi kekosongan kerusi itu.
Turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pimpinan Pas negeri dan kawasan Rantau Panjang.
Beliau yang juga menteri besar berkata, pihaknya berbangga dengan usaha dilakukan pemimpin Pas kawasan kerana mampu siapkan Masjid Al-Musleh dalam masa tiga tahun.

Lebih membanggakan katanya, ia dibiayai sepenuhnya menerusi kutipan derma penduduk berjumlah hampir RM1 juta.

“Ini adalah contoh terbaik kerana jangan anggap semua benda memerlukan bantuan daripada kerajaan sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan dalam membangunkan kemajuan sesebuah kawasan. Ia juga beri mesej rakyat Kelantan mampu bina kemajuan seperti mana pembinaan Lebuh raya Rakyat,” katanya.

Sebelum ini, beliau melancarkan operasi pembinaan Lebuh raya Rakyat sepanjang 30.5 kilometer bermula Bukit Bakar hingga Dusun Damar, Kuala Krai yang menelan belanja RM854 juta.