Sungai Kelantan melimpah, banjiri kawasan rendah
- Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama
KOTA BHARU - Air Sungai Kelantan melimpah dan mula membanjiri kawasan
rendah di bandar ini sejak awal pagi dan mengakibatkan kesesakan lalu
lintas.
Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Post Office Lama dan Pasar Kubang
Pasu mendapati air mula melimpah ke jalan raya dan pemilik premis
perniagaan turut menutup operasi.
Bacaan paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja di sini setakat jam
10 pagi ini telah melepasi paras bahaya iaitu pada paras 5.91 meter
(paras bahaya 5 meter).
Bandar ini pernah dilanda banjir besar pada 2004 sehingga melumpuhkan
seluruh bandar tersebut, dan mengakibatkan kerugian berjuta ringgit.
Sementara itu, peniaga peralatan elektrik Leong Khoon Seng, 52, berkata
pada banjir 2004, beliau mengalami kerugian besar apabila sebahagian
besar alatan elektrik musnah.
"Masa itu air naik pada waktu malam dan saya tidak sempat menyelamatkan peralatan elektrik di kedai saya ini," katanya.
Khoon Seng berkata untuk tidak mahu menanggung risiko seperti dahulu,
kali ini beliau melakukan persiapan lebih awal bagi mengelakkan
peralatan elektriknya terjejas.
Sementara itu beberapa penduduk yang tinggal di rumah rakit di tebing
sungai itu juga sudah membuat persiapan awal dengan mengikat kukuh rumah
masing-masing bagi mengelak dihanyutkan arus deras.
"Rumah, kami sudah ikat dengan tali yang kukuh, tetapi apa yang kami
bimbang adalah batang balak yang hanyut dalam keadaan arus deras ini
yang boleh merempuh rumah kami," kata Ali Shahbudin, 56.
Jirannya, Mek Minah Ali, 52, berharap air sungai akan cepat surut
kerana khuatir air banjir dari Gua Musang dan Kuala Krai akan mengalir
turun ke sungai ini dan mengakibatkan keadaan banjir lebih buruk.
Paras air di Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Kelantan di Tangga
Krai juga dilaporkan terus meningkat dengan masing-masing melepasi paras
bahaya.
Bacaan di Sungai Galas kini ialah 45.65 meter (paras bahaya 38 meter),
Sungai Lebir 36.13 meter (paras bahaya 36 meter) dan Tangga Krai 32.36
meter (paras bahaya 25 meter).
Tinjauan Bernama juga mendapati kanak-kanak mengambil kesempatan
bermain air banjir dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah meminta ibu
bapa mengawasi anak mereka daripada bermain air kerana khuatir boleh
mengundang bahaya.
"Kita bimbang ada yang terjatuh longkang atau terkena renjatan elektrik
selain membahayakan kesihatan berikutan air berlumpur," menurut
jurucakap bomba. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment