• Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob
1 / 1
SERDANG - Dewan Ulama Pas Pusat mengulangi larangannya terhadap ahli Pas supaya tidak terlibat dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) kerana NGO yang berteraskan ajaran Islam liberal itu bertentangan dengan dasar Pas.

Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yaakob berkata keterlibatan ahli Pas dalam Pasma dipercayai kerana wujudnya juga aliran pemikiran songsang hingga mengetepikan syariat Islam.

"Aliran pemikiran tajaan barat ini dilihat bertapak dalam Pas yang membuatkan sebilangan ahli Pas telah tersasar daripada matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan syariat ALLAH.

"Golongan ini mencari kemenangan bukan dengan mengikut manhaj yang diredhai ALLAH berdasarkan kaedah-kaedah syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun caranya berlawanan dengan panduan al-Quran dan Hadis," katanya dalam ucaptama Multaqa Ulama Malaysia Semalaysia 2015 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli Pas supaya tidak terlibat dengan gerakan songsang itu yang mempromosikan anutan sesat lagi merosakkan Pas.

"Aliran Islam liberal sebenarnya ingin mencipta manhaj sendiri, lalu menumpang sekaki di atas perjuangan agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan," ujarnya.

Ahmad juga menegaskan gerakan Pasma didakwa cuba mewujudkan satu usaha untuk merosak, menghancur dan memecahbelahkan Pas.

"Ini dapat disaksikan apabila banyak kenyataan ahli Pasma jelas menyerang dan melanggar dasar Pas bahkan yang lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina ulama dan presiden Pas sendiri.

"Nada yang dimainkan oleh golongan yang tidak berpuas hati ini sama seperti nada juhala' Umno dan orang bukan Islam yang menentang pelaksanaan hudud," katanya.

Lebih malang lagi katanya, Pasma menghasut ahli-ahli Pas untuk memberikan wala' mereka kepada pemimpin parti lain dan tidak kepada Presiden Pas.

"Pemikiran liberal merosakkan akidah semakin menular di kalangan ahli Pas yang menyokong Pasma dan mereka sanggup memberikan wala mereka kepada pemimpin parti lain tetapi tidak kepada Presiden Pas," katanya lagi.