RAKYAT MALAYSIA HANYA MAHU MENANG PILIHANRAYA DAN TERUS KUASAI PUTRAJAYA, SOAL IMAN BELAKANG KIRA, SEBAB ITU RAMAI DIANTARA MEREKA TAK SEBUT PASAL IMAN, MEREKA HANYA SEBUT PASAL NAK PERGI PUTRA JAYA, DALAM MASA YANG SAMA MEREKA KELIHATAN SOLAT, LEPAS SOLAT BERDO'A MACAM MANA NAK PERGI PUTRA JAYA, BERIMAN TIDAK JUGAAAAA ! - Pak Karamu
Malaysia diberkati sekiranya...
DAN sekiranya penduduk negeri itu beriman dan
bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari
langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (rasul), maka Kami seksa
mereka disebabkan perbuatannya.
Apakah penduduk negeri itu berasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur?
Atau apakah penduduk negeri itu berasa aman dari kedatangan seksaan
Kami kepada mereka di waktu matahari naik ketika mereka leka bermain?
Apakah mereka berasa aman dari perancangan buruk diatur ALLAH SWT
(ketika mereka lalai dengan nikmat ALLAH berikan kepada mereka sebagai
bentuk istidraj kemudian ALLAH datangkan azab yang tidak terduga-duga)?
Tiada yang berasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur
ALLAH kecuali orang yang merugi." (Surah Al-A'raaf: ayat 96-99)
Imam Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat 96 Surah Al-A'raaf ini
menyebut: "Jikalau penduduk negeri beriman dan bertakwa,". Maksudnya,
hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa rasul, lalu
mereka mengikuti rasul dan bertakwa dengan melakukan ketaatan dan
meninggalkan larangan, "Pastilah Kami (ALLAH) akan melimpahkan kepada
mereka keberkatan dari langit dan bumi,". Maksudnya hujan dari langit
dan tumbuh-tumbuhan dari bumi."
Selanjutnya ALLAH berfirman: "Tetapi mereka mendustakan (ayat Kami)
itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya,". Maksudnya, tetapi
mereka mendustakan rasul yang diutus kepada mereka, maka Kami timpakan
kepada mereka kebinasaan akibat berbagai dosa dan pelanggaran yang
mereka lakukan." (Tafsir Ibn Kathir, Dimasyq: Dar al-Faiha’, 2/312)
Syeikh Abdul Rahman bin Nasir Al-Sa'di pula menjelaskan ayat ini dengan
menyebut: "Ketika ALLAH menyebutkan orang yang mendustakan rasul diuji
dengan penderitaan, (musibah) itu adalah nasihat sekali gus peringatan;
mereka diuji dengan kesenangan sebagai istidraj dan makar (rancangan
buruk sebagai azab dari ALLAH).
Disebutkan, seandainya penduduk negeri tersebut mempunyai iman dalam
hati mereka dengan penuh kejujuran, nescaya amal perbuatan mereka akan
membenarkan (membuktikan) kejujuran tersebut. Mereka juga akan beramal
dengan sifat takwa kepada ALLAH secara zahir dan batin dengan
meninggalkan segala diharamkan ALLAH. Pastilah dibuka untuk mereka
keberkatan dari langit dan bumi.
Lalu, ALLAH turunkan (hujan) dari langit, tumbuhkan dari bumi tumbuhan
yang menjadi sumber kehidupan mereka dan haiwan ternakan. Dalam tanah
yang subur terdapat mata pencarian, dalam limpahan rezeki, tanpa perlu
berasakan kesusahan dan keletihan, tanpa perlu bekerja keras dan tanpa
mengalami kepayahan.
Meski demikian, mereka tidak beriman dan tidak bertakwa, "Maka Kami
seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah Al-A'raf: 96), dengan
hukuman, bala bencana, dicabut segala keberkatan dan terjadinya
kemusnahan. Ia adalah sebahagian daripada balasan kepada perbuatan
mereka, jika tidak, sekiranya dibalas secara keseluruhan terhadap apa
yang mereka lakukan, pasti tidak akan tertinggal di atasnya sesuatu apa
pun daripada binatang tunggangan." (Al-Sa'di, Abdul Rahman, Taysir
Al-Karim Al-Rahman, m/s 298)
Membaca, memahami, merenung huraian ayat ini, membuatkan akal kita
terfikir sejenak. Adakah kampung, bandar, negeri dan negara kita
termasuk dalam tempat yang mendapat keberkatan?
Dalam ayat ini, ALLAH kaitkan nilai iman dan takwa sebagai syarat utama
untuk sesebuah negara dilimpahkan keberkatan. Hujan turun mencurah,
bumi subur tumbuhlah tanaman dinikmati manusia dan haiwan. Ia adalah
satu simbolik kepada nilai keberkatan.
Rakyat Beriman & Bertakwa
Apabila disebut prasyarat untuk sesebuah negara diberkati ialah
penduduknya berpegang teguh dengan nilai iman dan takwa, nilai ini mesti
dijadikan paksi dalam masyarakat.
Pemimpin yang membaca ayat ini semestinya menjadikan ia sebagai formula
utama dalam membentuk keperibadian rakyat yang diperintah. Dasar
pemerintahan dan pentadbiran, polisi yang digubal, peraturan yang
dilaksanakan, program dianjurkan dan apa sahaja yang dikenakan kepada
rakyat, mestilah didasari nilai iman dan takwa.
Ini semua tidak akan wujud, melainkan pemimpin tersebut membina dan
memupuk nilai dirinya dengan iman dan takwa. Pemimpin yang bertakwa,
fokusnya juga ingin melahirkan rakyat bertakwa. Pemimpin bertakwa, tidak
tergamak menzalimi rakyatnya.
Pemimpin bertakwa tidak berani menindas dan menafikan hak rakyat.
Pemimpin bertakwa takut menyeleweng harta rakyat. Pemimpin bertakwa
takut mengkhianati amanah. Ringkasnya, pemimpin bertakwa menjalankan
pemerintahan dan pentadbiran dengan rasa takut kepada ALLAH. Amanah,
keadilan, kejujuran dan keikhlasan terpancar dalam pentadbirannya.
Harapan rakyat
Umar Abd Al-Aziz apabila dilantik menjadi khalifah. Ketika pembesar
menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya
anaknya, mengapa ayahnya belum keluar. Kata anaknya: "Ayahku sejak
dilantik, beliau bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk
kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila
ditanya, dia berkata: "Wahai Fatimah! Aku dikalungkan urusan umat
Muhammad yang berbagai bangsa.
Aku terfikir perihal orang fakir, lapar, sakit lagi derita, orang biasa
susah, dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang
uzur, orang yang mempunyai keluarga ramai sedangkan wangnya sedikit dan
seumpama mereka berada di segala tempat dan penjuru negara.
Aku tahu Tuhanku akan bertanya mengenai mereka pada hari kiamat kelak.
Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun
menangis." (Lihat: Mahmud Al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada Al-Islam, 144)
Kita dambakan pemimpin seperti Umar bin Abd Al-Aziz. Begitu juga contoh
teladan ditunjukkan khalifah didikan Rasulullah SAW. Kita harapkan
pemimpin yang menangis ketakutan kerana bimbang amanah kepimpinan yang
ditanggung tidak mampu mereka tunaikan seperti ALLAH mahukan.
Bukan hanya menangis untuk meraih undi dan sokongan. Selepas menang,
ketawa penuh keriangan. Rakyat pula yang menangis menanggung kesusahan
dan bebanan kehidupan.
Kita mengharapkan negara ini, sentiasa dilimpahkan keberkatan. Hasil
bumi yang tidak kering. Tanaman yang subur. Bersama kita menjadi rakyat
yang memelihara nilai iman dan takwa. Rakyat yang beriman dan bertakwa
tidak akan memilih melainkan pemimpin yang juga beriman dan bertakwa.
Apabila bergabungnya antara rakyat dan pemimpin yang mengutamakan nilai
iman dan takwa, mudah-mudahan limpahan keberkatan akan terus
mencurah-curah ke atas negara kita yang tercinta.
ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Master Trainer di Akademi Magnet
Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Ilmu Wahyu, UIAM
Penulis ialah Master Trainer di Akademi Magnet
Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Ilmu Wahyu, UIAM
0 orang berkata:
Post a Comment