Tak ada apa yang pelik bagi Hadi, Najib
SHAH ALAM - Tiada apa yang pelik bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang untuk sepentas dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun
Razak, demikian menurut pendapat Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim
Tuan Man.
Tambah Tuan Ibrahim, Abdul Hadi hanya meneruskan langkah yang diambil
oleh semua pimpinan terdahulu iaitu melihat sesuatu isu berdasarkan
pandangan mata syarak.
Katanya, kesediaan Abdul Hadi berada sepentas dengan Najib seharusnya
menjadi kebanggaan seluruh ahli parti kerana ia menggambarkan jiwa besar
pemimpin.
“Tiada apa yang pelik bagi Abdul Hadi untuk sepentas dengan Presiden
Umno. Presiden-presiden Pas terdahulu sehingga kini pernah sepentas
dengan presiden-presiden Umno.
"Allahyarham Datuk Fadhil Nor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat berada sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membicarakan
isu Palestin.
"Tok Guru Abdul Aziz juga pernah berada sepentas dengan Tun Abdullah
Badawi dalam pelancaran Eastern Corridor Economic Region (ECER) dan kini
Presiden berada pentas dengan Najib atas isu perpaduan ummah.
“Ini tentunya akan menyempitkan dada mereka yang sentiasa sakit hati
dengan dasar dan perjuangan Pas khususnya mereka yang melihat sepentas
ini bermakna ia akan menjadi separti atau akan menjadi satu parti”
katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ahli Pas tidak perlu menghabiskan masa melayani kumpulan
tersebut kerana dasar dan perjuangan kita tiada kena mengena dengan
pihak tersebut.
“Pas akan terus istiqamah di atas dasar Islam dan bersedia untuk terus
duduk semeja dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan isu negara
melangkaui sempadan parti politik.
"Sebagai sebuah parti yang besar kita mesti mempunyai jiwa besar bagi
menghadapi isu besar ummah dan negara. Pas akan terus menentang
kemungkaran yang membahayakan rakyat dan negara,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment