'Saya tak kesal menongkah arus'
SHAH ALAM – Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan hari ini menegaskan tidak akan sesekali
meninggalkan Umno meskipun dilihat sedang menongkah arus menentang
pemimpin nombor satu parti itu.
Kata Khairuddin, tindakannya itu dilakukan kerana terlalu sayangkan
parti dan bagi menjamin Umno terus kekal relevan hingga akhir hayat.
“Saya dilahirkan dalam keluarga pejuang Umno, pengasas Umno. Darah yang
mengalir dalam tubuh saya adalah darah Umno dan saya sama sekali tidak
akan tinggalkan parti ini untuk menganggotai parti-parti politik lain
untuk teruskan perjuangan saya.
“Perkara itu tidak akan berlaku. Perjuangan kita yang minta Najib Razak
(Datuk Seri Najib Razak) berundur dan sebagainya itu kerana kita
sayangkan parti Umno kerana kita nak menjamin agar parti ini kekal
relevan hingga akhir hayat kita,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Pada 12 Oktober lalu, Khairuddin, 53, dan Matthias atau nama sebenarnya
Chang Wen Chieh Matthias, 65, bersama-sama didakwa dengan niat
melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di
beberapa lokasi antara 28 Jun 2015 hingga 24 Ogos 2015.
Namun mereka dilepaskan dengan jaminan RM10,000 selepas Mahkamah Tinggi
memutuskan pertuduhan yang dihadapi mereka tidak tergolong di bawah
Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma).
Mengulas lanjut, suami kepada pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida
ini juga menyatakan bahawa beliau akan setia bersama parti itu meskipun
ia sudah tidak lagi relevan.
“Andai kata saya tidak dipecat, walaupun Umno sudah menjadi tidak
relevan, saya rasa ini sudah menjadi tanggungjawab kita untuk
memperbetulkan semula Umno.
“Saya rasa sekiranya kita mempunyai niat yang ikhlas untuk membetulkan
semula Umno, strukturkan semula Umno untuk kebaikan orang Melayu dan
keseluruhan rakyat di tanah air kita, walaupun Umno ditolak tapi lambat
laun rakyat akan terima kita balik,” katanya.
Keyakinan itu bersandarkan situasi yang dilalui parti pemerintah di
India dan Jepun di mana parti Kongres dan LDP ditolak sekejap sebelum
dipilih semula oleh rakyat.
“Saya rasa kita tak harus ada sikap kecewa dan putus asa... yang
pentingnya adalah asasnya kena ikhlas untuk perbetulkan apa yang tidak
betul dalam Umno supaya keseluruhan rakyat bukan sahaja bangsa Melayu,
bangsa-bangsa lain pun dapat menerima Umno sebagai tonggak pemerintahan
BN di Malaysia,” katanya.
Malah anak saudara veteran Umno, Sulaiman Palestine ini juga mengakui
tidak pernah menyesal menongkah arus yang menyebabkan beliau kehilangan
jawatan dalam parti.
"Saya dilahirkan dalam keluarga pejuang. Dalam keluarga saya, perkataan
kecewa tidak wujud dalam kamus kami kerana niat kami ikhlas. Kerana
saya terlalu sayangkan kepada Umno, saya buat yang terbaik mungkin
kerana nak menjamin keseluruhan rakyat tidak menolak Umno.
“Saya lebih rela menolak Presiden Umno untuk menjamin Umno terus
‘survive’ hingga ke akhir zaman daripada kita tengok Umno runtuh kerana
ditolak oleh rakyat. Sekiranya perkara itu berlaku, ia merupakan
malapetaka kepada keseluruhan bangsa Melayu dan akan mengecewakan saya,”
katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment