Penyatuan Umno-Pas melangkaui batas politik
SHAH ALAM - Gabungan Umno dan Pas tidak akan mengubah landskap politik
Selangor tetapi mampu memberi manfaat terhadap perpaduan ummah yang
melangkaui isu-isu politik seperti tekanan agama dan keistimewaan hak
Bumiputera.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah
Yaa’kop berkata, kepentingan agama dan hak orang Melayu akan terpelihara
sekiranya penyatuan yang disuarakan benar-benar berlaku.
“Kalau Umno dan Pas bergabung saya nampak pihak pakatan akan sukar
untuk menghalang apabila kita mempertahankan atau mencadangkan sesuatu
perkara yang melibatkan kepentingan agama serta bangsa,” katanya kepada
Sinar Harian.
Katanya, penyatuan boleh disifatkan sebagai satu unit yang melengkapi antara satu sama lain di dalam kedua-dua buah parti.
“Penggabungan akan menggalakkan kerjasama antara parti terutama di
peringkat akar umbi dan kekurangan kedua-dua buah parti juga dapat
ditampung bersama melalui usaha penyatuan ini,” katanya.
Menurutnya, hasrat gabungan juga bertujuan untuk membentuk keharmonian
di antara parti hingga ke peringkat akar umbi bagi mentadbir sesebuah
kerajaan dengan baik.
“Inti pati sebenar penyatuan adalah untuk memberi manfaat pada
perpaduan ummah yang dapat menyelamatkan agama dan bangsa serta membantu
mendapatkan keseimbangan antara dunia dan akhirat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, satu ketetapan perlu dilakukan supaya serangan
ke atas agama dan bangsa dapat dipatahkan melalui penyatuan kedua-dua
buah parti politik.
“Kita sendiri tengok semakin banyak serangan ke atas agama berlaku
dengan sewenang-wenangnya sekarang ini seperti kes Alvin Tan, Namewee
dan penganjuran program ‘I want to Touch A Dog’.
“Kalau tak ada satu ketetapan ia akan menjadi gerakan biasa dan sukar dikawal lagi pada masa akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap kerjasama yang disuarakan oleh presiden
kedua-dua buah parti tidak bersifat kepentingan peribadi yang akhirnya
membawa keuntungan pihak lain.
“Kalau penyatuan ini ada tujuan lain ia tidak akan memberi manfaat
apa-apa kepada kedua-dua buah parti melainkan mereka yang berada di
tengah-tengah.
“Jadi, tak guna bergaduh sesama sendiri untuk menentukan seiapa yang
berkuasa kerana perkara yang paling asas kita perlu sama-sama jaga ialah
agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment