Isteri reda, Hasman sempat Skype sebelum kejadian
JEMPOL - Isteri, kepada Kapten Hasman Hussin yang ditemui lemas
dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS), Siti Hazwani
Ahmad, 29, reda pemergian suaminya dalam kejadian berkenaan.
Siti Hazwani yang juga pegawai pertanian Tampin berkata, dia perlu tenang dengan kejadian ini.
"Saya reda atas pemergiannya dan hanya tunggu jenazahnya tiba di
Malaysia. Lagipun saya masih menyusukan anak kembar yang berusia tiga
bulan dan perlu menempuh perjalanan yang jauh.
"Saya dihubungi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan
penemuan jenazah suami kira-kira jam 8 pagi tadi dan meminta menyediakan
pasport untuk dibawa ke AS, tetapi saya tidak dapat pergi.
"Kami sekeluarga sudah berbincang dan sepakat membenarkan ATM
menguruskan perjalanan pulang jenazah ke Malaysia. Jenazah dijangka tiba
ke Malaysia pada Jumaat ini," katanya ketika ditemui di rumah
keluarganya di Felda Palong 13 di sini, hari ini.
Hasman merupakan pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) sedang
mengikuti kursus Engineer Captains Career Courses di Fort Leonard Wood,
Missouri, Amerika Syarikat mulai 1 Oktober hingga 15 April 2016.
Ketika kejadian, Hasman bersama empat rakan lain menaiki kereta dan dihanyutkan arus deras di Missouri, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Siti Hazwani berkata, dia dapat bersemuka dengan
suaminya sehari sebelum kejadian menerusi panggilan video menggunakan
aplikasi Skype.
Sementara itu, bapa mangsa, Hussin Mat, 60, berkata, jenazah anaknya
itu akan lebih cepat dibawa pulang sekiranya mereka tidak pergi ke AS.
"Saya lebih bersedia menunggu jenazah di sini kerana kalau pergi ke sana mengambil masa lama," katanya.
Sementara itu, arwah meninggalkan balu dan tiga orang anak lelaki,
iaitu Muhammad Aqil Tahfisz, 3, pasangan kembar, Muhammad Aqil Solehan
dan Muhammad Aqil Solehin, 4, bulan.
Dalam pada tu, difahamkan, arwah dijangka dikebumikan di kampung halaman di kampung Durian Daun Masjid Tanah, Melaka.
0 orang berkata:
Post a Comment