Isu atlet Israel bukan pendirian DAP Perak
IPOH - DAP Perak berpendirian tegas menolak keganasan dan penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, kenyataan dikeluarkan oleh seorang
daripada pemimpin parti itu kelmarin sudah ditarik balik dan ia tidak
mewakili DAP Perak.
Menurutnya, pihaknya berpendapat Kementerian Belia dan Sukan harus
berusaha mencari penyelesaian terbaik dalam isu melibatkan kejohanan
luncur angin yang berlangsung di Langkawi itu.
“Dengan mengekalkan semangat kesukanan yang merentasi batas politik dan
agama, namun pada masa sama turut mengekalkan bantahan dan pendirian
tegas terhadap Israel, kami yakin pihak kementerian boleh mencari jalan
tengah untuk menyelesaikan permasalahan sedia ada.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu Palestin: DAP tunjuk sikap sebenar]
“DAP Perak yakin dan percaya, kompromi profesional untuk dua orang ahli
sukan profesional tidak akan mengubah barang sedikit pun prinsip dan
pendirian tegas kita semua dalam isu Palestin-Israel,” katanya dalam
satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Perak tampil mengemukakan
pendirian bahawa organisasi itu tidak sesekali akan menyokong Zionis
Israel.
Ketuanya, Howard Lee Chuan How berkata, kenyataan dikeluarkan Chong
Zhemin yang juga Setiausaha Dapsy Perak dan Ketua Biro Pembangunan DAP
Perak itu tidak mencerminkan pendirian organisasi parti.
Menurutnya, kenyataan itu tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui
mana-mana peringkat Dapsy khususnya di Perak sebaliknya ia merupakan
pendirian peribadi Zhemin.
“Saya secara tegas menyatakan bahawa isi kandungannya (kenyataan) tidak
mencerminkan pendirian Dapsy Perak, mahupun Dapsy mana-mana peringkat.
“Pendirian rasmi Dapsy Perak adalah selaras dan konsisten dengan DAP.
Kami bantah dan mengecam segala keganasan dilakukan oleh pemerintah
Israel terhadap Palestin,” katanya.
Howard berkata, pihaknya akan terus menghulurkan tangan solidariti
kepada rakyat di Palestin selain bekerjasama dengan rakan-rakan Dapsy
yang ada di negara terbabit.
0 orang berkata:
Post a Comment