Jangan dengar dakyah pembangkang, kata Najib
KUALA KANGSAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta
pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai
Besar tidak terhasut dengan dakyah pembangkang yang mengatakan kerajaan
dibebani dengan hutang.
Katanya, pembangkang menggunakan modal itu ketika berkempen namun tidak memberikan fakta yang sebenar.
"Jangan dengar dan pakai cakap ketua pembangkang. Jangan dengar atau
pakai calon pembangkang cakap. Pakai dan dengar apa kata bank dunia
cakap.
"Mereka semua kata ekonomi negara di bawah BN diuruskan dengan begitu
baik sekali. Takkan buat penilaian, nak terima cakap calon, bukan bank
dunia? Takkan cakap bank dunia kurang tepat berbanding calon Kuale dari
Amanah dan Pas. Tentu sekali tidak.
"Sebab tu kita jangan termakan dengan dakyah pembangkang," katanya
ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga
Getah di Dewan Jubli Perak, hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar, kejatuhan
harga minyak dan faktor ekonomi China yang menguncup, kerajaan masih
mampu untuk membela rakyat Malaysia.
"Kalau tidak, mana kita boleh beri bantuan RM500 kepada pekebun, kakitangan kerajaan dapat, yang pencen pun dapat," katanya.
Dalam pada itu katanya, pembangkang masih belum mempunyai kemampuan
untuk memerintah sebaliknya hanya mampu bercakap kosong dan masih
mengharapkan bantuan daripada kerajaan pusat.
"Kita sentiasa sebagai sebuah kerajaan atas nama BN, kita mempunyai
agenda yang sudah pun jelas. Hala tuju yang jelas, perancangan yang amat
rapi lagi jitu serta perlaksanaan, kemampuan kita, bukan saja untuk
bercakap, bukan saja berjanji tetapi mampu melaksanakan janji itu.
"Tapi pembangkang belum lagi nampak. Mereka boleh bercakap, mengkritik
tetapi belum tunjukkan kemampuan. Begitu juga dengan negeri-negeri yang
diperintah.
"Sebab itu apabila berkempen mereka memberi tumpuan kepada hutang
negara. Seolah-olah hutang negara amat besar. Mereka tidak beri fakta
yang tepat," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment