Wajib ambil vaksin jika penyakit risiko kematian
KUALA LUMPUR - Penggunaan vaksin terhadap penyakit yang mempunyai
risiko kematian adalah wajib, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri
Mohamad.
Beliau berkata vaksin itu diperlukan supaya tidak memudaratkan individu itu sendiri dan memudaratkan orang lain.
"Kalau yang menentukan hidup mati kita iaitu maknanya darurat maka
hukumnya wajib ambil. Tetapi hukumnya harus kalau tidak sampai darurat,"
katanya ketika dihubungi Bernama hari ini, mengulas keengganan
sesetengah ibu bapa membenarkan anak divaksin.
Mohamad Shukri berkata golongan antivaksin tidak boleh membuat andaian
yang vaksin mengandungi bahan tidak suci atau bahan terlarang.
"Kementerian Kesihatan sudah membuat penyelidikan dan menyiasat
bahan-bahan itu. Jadi hukum tak boleh berdasarkan persepsi. Kita kena
bagi kepercayaan kepada pihak berwajib," kata beliau.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pula berkata, penggunaan
vaksin sudah diluluskan sejak dahulu lagi dengan setiap kanak-kanak
perlu divaksin.
"Ia harus dan mesti mengikut undang-undang dengan syarat vaksin itu mestilah perkara yang halal.
"Tetapi sekiranya waktu itu tidak didapati vaksin yang halal, ia masih
lagi bercampur benda yang haram sedangkan (vaksin) itu perlu, maka harus
diambil," katanya.
Semalam Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata
kementerian itu sedang mempertimbangkan untuk mengadakan perbincangan
dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung fatwa penggunaan vaksin.
Dr Hilmi turut memberi jaminan semua vaksin adalah halal dan tidak mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi.
Sementara itu jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata
setakat ini belum ada perbincangan mengenai perkara tersebut.
"Kita tunggu Kementerian Kesihatan 'consult' dengan Jakim dahulu," katanya. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment