Melayu bimbang hilang keistimewaan
DARIPADA PRN Sarawak hingga ke PRK Sungai Besar dan
Kuala Kangsar, BN berjaya memperoleh kejayaan yang cukup
memberangsangkan selain turut membuktikan pengundi Cina telah kembali
menyokong parti pemerintah ini.
Dalam PRK kali ini, ternyata setiap kaum mempunyai tuntutan yang
berbeza. Bagi kaum Cina, mereka mengundi BN kerana dikatakan bimbang
mengenai pelaksanaan hukum hudud dan perpecahan yang berlaku dalam parti
pembangkang.
Manakala bagi kaum Melayu pula, secara umumnya mereka masih memiliki
perspektif bahawa jika tidak menyokong BN dan Umno, masa depan Melayu
akan terjejas.
Sin Chew Jit Poh melalui rencana khasnya menemu bual dengan tiga
pemimpin iaitu Timbalan Presiden Ikram, Zaid Kamaruddin, aktivis
mahasiswa, Fahmi Zainol dan bekas pemimpin MCA, Gan Peng Siau.
Zaid berpendapat, tidak kira golongan elit Melayu mahupun golongan
biasa, apa yang paling dibimbangi oleh Melayu ialah kehilangan hak
keistimewaan.
"Pada hari ini, masyarakat Melayu kekurangan pemimpin yang berwibawa.
Mereka tidak tahu siapakah pemimpin yang bakal memimpin mereka pada masa
depan. Orang Melayu juga takut untuk melakukan perubahan dan bimbang
kehidupan mereka terabai. Oleh itu, orang Melayu tetap pilih parti yang
boleh menjamin masa depan mereka," kata Zaid.
Menurut Zaid, ketika era baru capai kemerdekaan, kebanyakan orang Melayu hidup dalam kemiskinan.
"Untuk mengatasi masalah kemiskinan, kerajaan lalu melaksanakan Dasar
Ekonomi Baru bagi mengurangkan jurang kemiskinan. Dasar ini adalah dasar
yang baik namun berlaku kepincangan dari segi pelaksanaan.
"Apa yang kita lihat, di bawah dasar ini, segelintir orang Melayu telah
menjadi kaya dalam masa yang singkat. Sebaliknya, kebanyakan orang
Melayu yang benar-benar miskin tidak pula memperoleh faedah
daripadanya," katanya.
Bagi Fahmi pula mengakui orang Melayu merasa bimbang kedudukan mereka
akan terancam apabila melihat kaum Cina dan India bangkit menuntut hak
mereka masing-masing.
"Sepatutnya pemimpin Cina tampil ke depan menyokong hak keistimewaan
orang Melayu bagi membolehkan orang Melayu tidak berada dalam keadaan
bimbang. Jika golongan bukan Melayu terlalu tekankan keadilan, ia tidak
akan disenangi oleh orang Melayu.
"Saya faham erti keadilan adalah tidak menetapkan sistem kuota.
Keadilan bermakna perlu memastikan semua orang terima layanan yang
sama.
"Bagaimanapun semua orang Melayu tidak kira golongan atasan,
pertengahan dan bawahan, semuanya mahu hak keistimewaan orang Melayu
dikekalkan. Ini termasuklah dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan
dan perniagaan," kata Fahmi.
Kata Fahmi yang aktif dalam kegiatan politik, orang-orang Melayu di
kawasan kampung masih mempunyai rasa takut terhadap DAP kerana
beranggapan parti ini adalah parti Cina.
"Orang Melayu bimbang DAP mungkin akan kuasai politik dan apabila DAP
kuasai politik, hak keistimewaan orang Melayu pun akan turut terkikis,"
kata Fahmi.
Akhbar ini turut mendapatkan pandangan Peng Siau yang merumuskan orang Melayu masih memiliki dua elemen kebimbangan yang besar.
Pertama, kata Peng Siau, iaitu bimbang dasar-dasar baru yang
dilaksanakan oleh kerajaan, seperti TPP, GST serta persaingan bebas
dalam dunia perniagaan yang menyebabkan orang Melayu tidak nampak hala
tuju yang bakal dilalui mereka.
"Kedua, orang Melayu tidak rasa selesa setelah kerajaan ingin memacu
urbanisasi dalam transformasi sekali gus menyebabkan golongan ini yang
kurang keyakinan tinggi dan daya saingan berada dalam kedudukan yang
tertekan," kata Peng Siau.
Beliau berpendapat, masyarakat Melayu telah lama bergantung kepada
kerajaan dan adalah sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri jika
bantuan-bantuan ini diberhentikan.
"Sesetengah orang Melayu berjaya kerana mereka berusaha
bersungguh-sungguh melalui dasar yang dilaksanakan kerajaan. Namun tidak
kurang pula yang gagal kerana tidak dapat bersaing dalam dunia
perubahan yang menuntut kemajuan yang pantas," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment