Pecat: Mungkin ada sabotaj dalam PRU14 nanti
SHAH ALAM - Penganalisis politik melahirkan kebimbangan tindakan
pemecatan ke atas dua pimpinan Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk
Seri Mukhriz Mahathir semalam bakal mewujudkan sabotaj dalaman pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof
Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sabotaj itu mungkin berlaku
secara besar-besaran walaupun percikannya langsung tidak kelihatan
ketika ini.
“Kebimbangan saya hanya satu, ahli Umno memang tidak akan beri reaksi
(sekarang) tapi apabila berlaku pilihan raya nanti, mungkin akan berlaku
sabotaj dalaman yang besar. Itu tidak pasti akan berlaku atau tidak
tapi boleh berlaku.
“Sebab kita tahu sokongan kepada Tun (Dr) Mahathir (Mahathir) masih
kuat. Muhyiddin dan Mukhriz pun ada sokongannya. Cuma, setakat ini ahli
Umno nak lihat apa tindakan mereka selepas dipecat. Selepas itu baru
mereka bertindak tapi di Jerlun dan Pagoh pasti akan ada kesannya,”
katanya kepada Sinar Online.
Semalam, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk memecat Muhyiddin
dan Mukhriz serta menggantung keahlian Datuk Seri Shafie Apdal dari
parti itu.
Mengulas lanjut, menurut Azizuddin, berdasarkan tradisi Umno,
penyokongnya mengikut kata ketua dan jika mereka tidak bersetuju, protes
tidak dilakukan secara terang-terangan.
“Apa-apa tindakan diambil oleh ketua, walau mereka tidak setuju
sekalipun mereka tidak akan protes tapi ia hanya akan dilakukan secara
senyap. Apabila pilihan raya selalunya mereka akan sabotaj.
“Saya rasa buat waktu ini ahli Umno akan terus menyokong pucuk
pimpinan. Mereka tidak akan bertindak seperti zaman (pemecatan) Datuk
Seri Anwar Ibrahim dulu...demonstrasi besar-besaran kerana keadaan itu
berlainan,” katanya.
Beliau juga berpendapat Umno masih mempunyai masa untuk memujuk
ahli-ahlinya yang marah dengan keputusan pemecatan itu sebelum PRU14.
Katanya lagi, keputusan Muhyiddin dan Mukhriz selepas pemecatan ini pastinya dinanti-nanti penyokong.
“Ada yang sebut tentang tubuh parti baharu tapi kita sudah ada banyak
parti. Parti baharu itu nanti nak kedudukan yang bagaimana pula?
“Blok politik keempat? Atau nak bekerjasama dengan Pakatan Harapan?
Atau dengan blok politik ketiga bersama Pas? Kalau mereka bergerak
sendiri saya rasa tak ada platform yang jelas,” katanya.
Menyentuh soal Shafie yang hanya digantung dari parti, Azizuddin
berpandangan pemimpin dari Sabah itu berpeluang kembali kepada kem asal.
“Shafie ini...beliau sokong juga Deklarasi Rakyat tapi beliau kelihatan
seperti ‘mahu pulang semula’ kepada pimpinan sekarang. Baru-baru ini
pun beliau berkempen untuk pilihan raya kecil.
“Kalau nampak positif (tindakannya) dan kembali menyokong kepimpinan
sekarang ini mungkin beliau akan kembali dan tidak akan dipecat. Shafie
masih ada peluang lagi untuk kembali tidak seperti Muhyiddin dan
Mukhriz,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment