Jangan sesekali cuba gertak kami
AMPANG JAYA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi
amaran kepada pengganas militan IS supaya usah cuba membuat gertakan
terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami dah berusia 209 tahun..jangan cuba hendak menggertak kami.
“Kalau setakat buat ugutan dari jauh beranilah!,” katanya dalam sidang
media selepas menyempurnakan Majlis Inisiatif Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS): ‘Go To Safety Points Bersama Petronas, di Jalan Kolam
Air, dekat sini, semalam.
Beliau mengulas rakaman video yang dikeluarkan pengganas militan IS
melaungkan amaran untuk ‘menggegarkan’ Bukit Aman yang tersebar pada
Selasa lalu di internet.
Khalid berkata, ia bukanlah video pertama dikeluarkan IS.
“Saya nyatakan di sini bahawa PDRM tak akan sesekali benarkan
elemen-elemen dan fahaman IS bertapak dan tersebar luas di dalam negara.
Saya percaya dan yakin semua anggota PDRM akan meningkatkan
kesiapsiagaan dan kami tidak gentar dengan video itu.
“Kita sentiasa berada dalam keadaan bersedia termasuklah pertingkatkan tahap keselamatan kawalan di pintu masuk,” katanya.
Beliau juga percaya tugas di pintu masuk akan lebih berhati-hati.
Bagaimanapun, sekali pun jika anggota IS ini cuba masuk ke dalam negara,
dipercayai mereka akan menggunakan laluan tidak sah.
Selain itu, Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya lebih
berwaspada dan mempertingkatkan tahap kesedaran dalam pemikiran
masyarakat berkenaan ugutan serta ancaman IS jika berada di tempat awam.
0 orang berkata:
Post a Comment