Mahathir dakwa penyokong Najib pengkhianat
SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penyokong Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak memperlekehkan Deklarasi Rakyat
dengan tuduhan kononnya deklarasi itu banyak penipuan.
Menurutnya, keraguan itu dibangkitkan supaya polis merampas dokumen
tandatangan rakyat yang berusaha merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-raja Melayu supaya menyelamatkan negara.
“Mereka desak polis agar merampas borang deklarasi yang berada dengan sekretariat. “Dengan harapan supaya polis dapat mengenal pasti individu yang
tandatangan deklarasi tersebut dan akan dapat mengugut mereka,” katanya
dalam entri terbaharu blognya dengan tajuk Kebebasan Bersuara.
Bekas perdana menteri itu mendakwa wujud ancaman terhadap mereka yang
menandatangani deklarasi berkenaan, termasuk bakal kehilangan bantuan
BR1M, biasiswa untuk anak-anak, peluang perniagaan dan kemudahan lain.
“Sebenarnya memang ramai yang tidak sanggup tandatangan deklarasi kerana rejim Najib akan ugut dan ganggu mereka.
“Jika tidak ada gangguan dan ugutan ini pastinya lebih ramai rakyat
yang akan tandatangani Deklarasi Rakyat. Sebenarnya berjuta rakyat
bersetuju supaya Najib berhenti daripada menjadi perdana menteri tetapi
mereka takut dengan tindakan yang bakal dikenakan rejim Najib,” katanya.
Bulan lalu, Deklarasi Rakyat yang menggesa penyingkiran Najib sebagai
perdana menteri mengumumkan berjaya mendapatkan 1.2 juta tandatangan.
Bagaimanapun NGO seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang
secara tradisinya berpihak kepada pembangkang telah membuat laporan
polis mendakwa petisyen itu mengandungi penipuan.
Mahathir turut mendakwa penyokong Najib sebagai pengkhianat bangsa dan
demokrasi kerana tidak senang apabila rakyat berani bersuara.
“Usaha untuk mendapatkan Deklarasi Rakyat akan diteruskan kerana saya
percaya ramai rakyat Malaysia berani bersuara. Pengkhianat bangsa dan
demokrasi tidak akan berjaya walaupun mendapat perlindungan Najib,”
dakwanya.
0 orang berkata:
Post a Comment