Perbincangan Pas - Bersatu secara tertutup di Bangsar
KUALA LUMPUR - Perbincangan antara Pas dan Bersatu diadakan secara
tertutup di Bangsar pada jam 11 pagi tadi bagi membincangkan kerjasama
kedua-dua parti dalam blok pembangkang.
Difahamkan perbincangan tersebut diketuai Naib Presiden Bersatu, Datuk
Seri Mukhriz Mahathir dan Pas oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Namun, status terkini atau kata putus mengenai pertemuan tersebut masih belum diketahui.
Sebelum itu, Pejabat Agung Pas menjadi tumpuan para pengamal media
sejak pagi lagi bagi membuat liputan mengenai pertemuan Pas - Bersatu
memandangkan tiada maklumat diberikan berhubung pertemuan tersebut.
Ketika dihubungi, baik pemimpin Pas mahupun Bersatu mengunci mulut untuk memaklumkan perkara itu.
Terdahulu, dalam laporan Sinar Harian semalam melaporkan hari ini
Bersatu dan Pas akan mengadakan pertemuan rundingan kerjasama menjelang
PRU14.
[ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Pas duduk semeja esok]
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamarudin Mohd
Noor ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi mendakwa
Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mahu mempertahankan
kedudukan tanpa mempedulikan Islam.
“Oleh kerana wakil-wakil Bersatu dan Pas akan bertemu dalam rundingan
berikutnya, saya fikir elok saya tidak mengeluarkan sebarang ulasan
mengenai kenyataan tersebut.
“Insya-ALLAH kita lihat apa hasilnya selepas pertemuan itu,” katanya.