PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan usaha menjatuhkan beliau di Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, didalangi oleh sebuah parti pembangkang yang menggunakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan tertentu bagi mencapai matlamat tersebut.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan ia tidak membabitkan Umno atau parti komponen BN.

Mengakui bahawa cubaan itu merupakan tugas hakiki pembangkang, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, modus operandi yang dilakukan pihak yang telah dikenal pasti itu amat berbeza berbanding pendekatan yang digunakan lawan di kawasan lain.

"Walaupun itu memang tugas pembangkang tetapi di Bagan Datuk mereka menggunakan beberapa NGO, kumpulan tertentu untuk menentukan bahawa saya 'tercabut' dari akar sokongan.

"Mereka menggunakan organisasi dan individu tempatan untuk merobek segala sokongan yang diberikan rakyat terhadap saya selaku ahli Parlimen termasuk kepada Adun di bawahnya," katanya.    

Beliau mengulas andaian parti pembangkang dan pihak tertentu yang menyifatkan pengumuman yang dibuatnya pada malam Jumaat lepas (20 Januari) pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan BN Empat Peringkat Bahagian Bagan Datuk itu sebagai tanda wujudnya krisis dalaman membabitkan Umno.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyempurnakan pemakaian pangkat Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kepada 38 ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dakwaan wujud krisis dalam Umno serta BN, khususnya di Bagan Datuk tidak benar kerana pengumuman mengenai usaha menjatuhkannya itu dibuat pada majlis yang disertai kepimpinan BN bagi Parlimen itu.

"Ini bererti saya mengingatkan parti komponen BN bahawa usaha itu datang dari luar dan semua parti harus sepakat dan bersiap siaga menghadapi apa sahaja serangan daripada pihak pembangkang menjelang PRU akan datang," katanya.

Ditanya adakahy beliau mengenal pasti NGO dan kumpulan berkenaan, Ahmad Zahid berkata: "sudah kenal pasti, ia didalangi oleh sebuah parti politik pembangkang". - Bernama