Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
06 October 2011

Khoo Kay Kim Dakwa Muhyiddin Tak Faham Undang-Undang

Prof Khoo: Muhyiddin ‘cakap ikut bahasa rakyat’, bukan undang-undang

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tetap mempertahankan pendirian bahawa Malaysia tidak pernah dijajah sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam seperti “orang kebanyakan yang tidak faham undang-undang.”

Kata beliau, hanya negeri-negeri Selat yang pernah menjadi tanah jajahan British sementara negeri-negeri Melayu yang lain telah berada di bawah naungan British.

“Saya sebut dari segi undang-undang yang mana negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) pernah dijajah, negeri-negeri Selat ini dipanggil Tanah Jajahan Mahkota British dan sesiapa yang lahir di negeri-negeri ini akan menjadi rakyat Britain dan kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil negeri-negeri Melayu naungan British dan sesiapa yang lahir di negeri-negeri naungan British ini tidak akan menjadi rakyat Britain.


“Dari segi undang-undang nampak perbezaan, malah wakil British di negeri-negeri Selat dipanggil gabenor dan orang yang sama kedudukan rasminya di kerajaan negeri-negeri Melayu ialah pesuruhjaya tinggi. Jadi lihat dalam undang-undang, banyak perbezaan dan yang paling penting mereka yang lahir di negeri-negeri Selat termasuk orang Melayu akan jadi rakyat Britain dan orang bukan Melayu di kerajaan negeri-negeri Melayu sebelum 1948 akan menjadi rakyat tanpa negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mengenai kenyataan Muhyiddin (gambar) semalam, Khoo berkata Timbalan Presiden Umno itu bercakap mengikut bahasa orang kebanyakan dan bukan undang-undang.

“Beliau (Muhyiddin) bercakap sebagai seorang biasa dan bukan lihat dari segi undang-undang, dalam undang-undang memang ada bahasa khas undang-undang atau bahasa teknikal tapi bahasa orang kebanyakan biasanya kelam-kabut, tidak teratur dan tidak tepat.

“Beliau guna bahasa orang kebanyakan yang tidak faham undang-undang dan bukan bahasa teknikal undang-undang. Kalau ikut undang-undang, kerajaan negeri-negeri Melayu bukan tanah jajahan British dan tak pernah dipanggil tapi bila British cuba kuat kuasakan Malayan Union dan kalau British berjaya memang, kerajaan negeri-negeri Melayu akan jadi tanah jajahan British,” katanya.

Tambah Khoo: “Tentang Malayan Union, kalau orang Melayu ketika itu tidak menentang sudah pasti kerajaan negeri-negeri Melayu dah jadi tanah jajahan British, tapi bila orang Melayu bangkit menentang, British terpaksa batalkan rancangan itu.”

Dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengakui bahawa Malaysia pernah dijajah — bertentangan dengan penegasan beberapa profesor termasuk Khoo bulan lalu bahawa negara hanya menjadi naungan British.

Muhyiddin menyatakan pendirian tersebut sekali gus menafikan pandangan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

“Sama ada negara kita dijajah atau tidak, jawapannya, ya.

“Saya mengambil pendirian begitu walaupun ada beberapa pihak yang memberikan pandangan bahawa kita tidak dijajah,” katanya.

Menurut Khoo, sekiranya British serius mahu menjajah negara sudah tentu negeri-negeri Melayu akan dipaksa menjadi tanah jajahan kuasa asing itu.

Beliau menambah terdapat banyak bukti bahawa negara tidak pernah dijajah.

“Saya boleh buktikan, pertama macam mana dua tempat mempunyai nama yang tidak sama? Satu Tanah Jajahan Mahkota British dan satu lagi negeri-negeri Melayu naungan British... kalau British dah jajah Tanah Melayu, mengapa British tidak menyatukan negeri-negeri Melayu bersekutu dengan negeri-negeri Melayu tidak bersekutu?

“British mahu negeri-negeri Melayu tidak bersekutu menjadi sebahagian daripada negeri-negeri Melayu bersekutu tapi raja di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu tak setuju dan British tak boleh bergerak... kalau British nak jajah, dia boleh paksa tapi dia cuma nak pujuk,” katanya.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.