Hadi: Pakatan jamin selesai isu tanah jika kuasai Putrajaya
October 29, 2011
KUALA LUMPUR, 29 Okt ― Pakatan Rakyat memberi jaminan akan menyelesaikan segala masalah rakyat berkaitan hak milik tanah jika menguasai Putrajaya, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.
Menurut beliau, rakyat kini sudah sedar dan sudah ada kesatuan untuk menuntut hak mereka yang sekian lama dinafikan kerajaan Umno BN.
“Jaminan Pakatan Rakyat, hak-hak rakyat khususnya soal tanah akan diutamakan. Kita akan mengutamakan rakyat, bukan mengutamakan pemaju yang ada kepentingan.
“Dan, PAS sudah buktikan kita selesaikan masalah tanah di Kelantan dan di Terengganu sewaktu kita memerintah dahulu,” kata beliau (gambar) selepas merasmikan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota) 2011 di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Dipetik Harakahdaily, Hadi berkata, Islam menggariskan bahawa rakyat yang terlebih dahulu meneroka sesuatu kawasan, mereka berhak ke atas tanaah tersebut.
“Pemimpin seharusnya memudahkan urusan rakyat untuk mendapatkan tanah, bukan dengan cara merompak hak dan menghalau rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Konvensyen anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat ini bertujuan merungkai permasalahan penduduk Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain khususnya generasi keduanya berkaitan isu tanah dan perumahan.
Selain itu ia juga bagi menghimpunkan wakil-wakil mangsa dan bakal mangsa pengambilan tanah dan masalah perumahan dari Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain seluruh negara.
Segala perbincangan akan dirumuskan dalam bentuk desakan atau tawaran alternatif kepada penyelesaian masalah tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembagunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, resolusi daripada konvensyen ini akan didokumenkan dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat untuk diambil tindakan.
“Resolusi hari ini kita akan serahkan kepada Perdana Menteri dan menterii bertanggungjawab untuk selesaikan masalah tanah dan setinggan.
“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur tapi turut berlaku di negeri-negeri lain,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment