Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

SPR pamer 264,404 nama pemilih baru daftar Julai-Sept

October 25, 2011
KUALA LUMPUR, 25 Okt Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 264,404 nama pemilih yang baru mendaftar dan 52,215 permohonan lagi untuk pertukaran alamat pusat mengundi — bilangan terbaru diterima ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil dalam waktu terdekat.

Mereka akan layak mengundi jika pilihan raya umum diadakan selepas November ini.

Jumlah itu mengalami peningkatan sepanjang setahun lalu. Permohonan itu diterima sepanjang suku tahun ketiga tahun ini iaitu Julai hingga September lalu.

Kenyataan SPR menyebut mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dengan menyerahkan borang tersebut kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dipamerkan.

“Bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam daftar pemilih yang dipamerkan boleh dilakukan dengan menggunakan Borang C,” kata kenyataan SPR hari ini. Tahun lalu SPR menerima lebih 800,000 pemilih baru sah.

Hari ini, SPR menasihatkan mereka yang ingin membuat bantahan memastikan bantahan adalah berdasarkan kepada alasan kukuh dan tidak dibuat secara melulu.

Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada daftar pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara, telah bersara daripada angkatan tentera dan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, bagi tempoh Julai hingga 15 September lepas, SPR telah mengeluarkan 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar setelah disahkan meninggal dunia.
Dalam tempoh berkenaan, SPR memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bersama senarai itu, turut akan dipamerkan ialah 42,051 nama pemilih yang rekodnya tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.

Ia juga akan dipamerkan selama seminggu mulai Khamis ini. Pagi tadi, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa nama-nama itu akan dipamerkan mulai Khamis.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Ahmad berkata, pemilih-pemilih yang terdapat dalam senarai itu boleh menghubungi suruhanjaya itu untuk mengesahkan kedudukan masing-masing.

“Pengesahan ini boleh dilakukan dalam tempoh satu minggu sepanjang pameran diadakan,” kata Wan Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kenyataan SPR hari ini berkata nama pemilih berkenaan akan dipamerkan bersama daftar pemilih tambahan suku ketiga tahun ini di 987 tempat pameran seluruh negara.

Katanya, senarai nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan sebaliknya untuk pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan.

“Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke JPN untuk mengenal pasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan pendaftaran pemilihnya,” kata kenyataan itu.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.