120 NGO India mahu jawatan TPM, KM dan menteri
editor1 | Apr 12, 2012 | Comments 0
Sekumpulan 120 NGO India mahu seorang Timbalan Perdana Menteri, seorang Ketua Menteri dan empat menteri dilantik mewakili kepentingan masyarakat India.
NGO tersebut diketuai Badan Hak Asasi Kaum India Kebangsaan (NIAT) membuat ketetapan tersebut dalam forum bertajuk Hak-hak Kaum India Malaysia – Pasca Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) di Wisma Tun Sambanthan selama tiga jam petang semalam.
Tiga ketetapan tersebut merupakan sebahagian dari 11 ketetapan yang diluluskan semalam.
Pengerusi NIAT, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata: “Kalau Pulau Pinang boleh beri jawatan Timbalan Ketua Menteri saya tidak dapat melihat mengapa permintaan ini tidak boleh ditunaikan oleh BN atau Pakatan Rakyat.”
Mengenai jawatan Ketua Menteri pula, beliau berkata pihaknya sedang melihat kemungkinan agar seorang India dilantik memegang jawatan itu di Melaka.
Bendahara orang Tamil
Bendahara orang Tamil
“Semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah, bendahara beliau seorang Tamil,” kata Thasleem merujuk kepada Bendahara Tun Ali.
Permintaan empat menteri pula menurutnya perlu bersesuaian dengan kadar penduduk masyarakat India.
Pada masa sekarang, masyarakat India diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Masyarakat India Datuk Seri G Palanivel dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S Subramaniam.
Selain itu, NIAT juga mahukan BN dan Pakatan Rakyat mencalonkan sekurang-kurangnya seorang calon keturunan India di kerusi parlimen di Kuala Lumpur.
Di dalam pilihan raya umum ke 12, tiada calon India bertanding di Kuala Lumpur.
Ramai calon IndiaKumpulan ini juga mahukan lebih ramai calon pilihan raya dari masyarakat India diketengahkan di dalam PRU 13.
Selain itu, NIAT juga mahu 11 ketetapan ini dimasukkan sebahagian daripada manifesto bagi pakatan politik yang bertanding di dalam PRU 13.
“Pakatan yang menjadikan ketetapan ini sebagai manifesto politik mereka dan seterusnya melunaskan permintaan ini akan mendapat undi masyarakat India,” ulas Thasleem.
Beliau berkata bahawa ketetapan yang dibuat terbentuk setelah mendengar rintihan masyarakat India di peringkat akar umbi.
“Perubahan pertama kali kami rasakan berlaku di dalam tahun 2008 dan kami mahu hak kami diberikan selaras dengan apa yang terkandung di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Thasleem ketika ditanya motif di sebalik 11 ketetapan tersebut.
Lima ketetapan lain
Lima ketetapan lain yang dibuat oleh NIAT adalah berkenaan isu pendidikan dan peluang pekerjaan di dalam sektor kerajaan dan swasta.
Perjumpaan ini turut disertai ahli parlimen dari Pakatan Rakyat iaitu Charles Santiago (Klang), M Manogaran (Teluk Intan) M Kulasegaran (Ipoh Barat), P Ramasamy (Batu Kawan) dan Senator S Ramakrishnan dari DAP.
R Sivarasa (Subang) dan S Manikavasagam (Kapar) pula hadir mewakili PKR manakala ahli parlimen Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dari PSM turut hadir.
Adun Senawang P Gunasekaran dari DAP dan Adun Port Dickson M Ravi dari PKR turut menghadiri perjumpaan tersebut.
Tiada wakil dari MIC, IPF, KIMMA mahupun Gerakan menghadiri perjumpaan tersebut.
Sumber: Free Malaysia Today
0 orang berkata:
Post a Comment