Umno hanya tinggal jasad, roh sudah tiada
5 Jamadil akhir 1433H,
KUALA LUMPUR, 27 April: “Ini membuktikan bahawa Umno hanya ada jasad tetapi tidak ada roh,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa ahli Umno dan pimpinan Umno tidak banyak menjawab segala tuduhan kepada Umno dan isu-isu semasa sehingga ia diambil alih oleh NGO Umno sahaja.
Idris berkata, ini ditambah pula oleh dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan timbalannya yang mengatakan bahawa mereka pun tidak sedar bilakah menjadi ahli Umno dan tidak aktif, namun nama mereka masih terdapat di dalam data keahlian Umno.
“Daripada dua fakta tersebut jelas membuktikan bahawa kualiti ahli Umno sekarang tidak ada nilai walaupun ahli Umno mencecah lebih 3.2 juta, namun mereka hanya buih,” ujarnya kepadqa Harakahdaily.
Menurutnya, penyertaan mereka di dalam Umno hanya untuk mendapat projek atau kedudukan di dalam kerajaan sahaja.
“Jika fenomena ini berlaku, apa yang hendak diharapkan untuk Umno pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau menambah, generasi muda Melayu yang terpelajar yang mempunyai idealisma perjuangan tidak lagi mahu bersama dengan Umno walaupun datuk nenek mereka berkarat dengan Umno.
Katanya, penyokong Umno tidak mampu untuk berhujah dengan fakta dan menolak tuduhan pembangkang kepada Umno.
“Perkara ini dapat dibuktikan melalui perang siber, medan ini dikuasai oleh golongan yang anti Umno BN,” ujarnya.-HD
0 orang berkata:
Post a Comment