Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Pikiaq sama otak sama akai




"Ali Rustam, awat hang pikiaq kami takda otak?"
Posted on Thursday, April 12 @ 05:44:13 CDT by paklang
Oleh  RAZALI  ENDUN

 Ketika minum bersama kawan-kawan penulis pada malam pertama Hari Sastera Ke-15 di sebuah gerai kopi berdekatan  Hotel Kings, di Jalan Bukit Katil, Melaka;  saya diberitahu oleh seorang penulis terkenal dari Johor mengatakan Majlis Pelancaran Hari Sastera Nasional ke-15 pada 30 Mac oleh Ketua Menteri Melaka sarat dengan ucapan yang berunsur kempen politik
 Respons saya mudah saja. “Biasalah orang politik, begitulah sifatnya. Tambahan pula pilihan raya semakin hampir.”

            Saya kira setakat itu saja fenomena itu berlangsung. Rupa-rupanya ia menular ke Majlis Penutupan Hari Sastera Nasional pada hari terakhir, 1 hb April 2012 di auditorium Seri Negeri. Mengikut program, Majlis Penutupan  disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Oleh kerana beliau tidak dapat hadir maka tempat beliau telah digantikan oleh YB Datuk Wira Hj. Othman Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.

           Pernyataan sikap kurang senang para penulis/sasterawan yang menghadiri kedua-dua majlis ini jelas terungkap dalam keluhan dan rungutan mereka. Seorang sasterawan terkenal dari Perlis  sebaik-baik melangkah keluar daripada dewan auditorium merungut, “Apa depa fikir kita ni tidak ada otak kah? Bodohkah?”

           Saya sengaja provoke beliau, “kenapa sampai begitu sekali anda ambil kesimpulan?” Jawabnya, “Kempen politik pada hari sastera,” ujarnya dengan suara bernada marah dan tegas dituruti dengan ketawa kecil. Lalu saya pinjam ungkapan beliau sebagai tajuk artikel ini. 

           Sambungnya lagi, “90 peratus isi ucapan penutupan itu sarat dengan sentimen politik sempit yang cuba memperbodohkan golongan penulis, sasterawan, budayawan dan cendikawan yang hadir pada hari sastera ini.”

           Beberapa orang lagi penulis mengesahkan dakwaan ini dan menyatakan kurang senangnya mereka terhadap sesetengah ahli politik yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik peribadi dan kepartian dalam majlis-majlis serupa ini. Ini jelas terbukti dengan sikap kurang bijaksana mereka pada majlis-majlis yang dihadiri oleh para sasterawan dan cendiakawan yang tahu berfikir secara wajar dan rasional situasi politik tanah air.

          Apa lagi ianya diungkapkan oleh seorang Speaker merangkap Ketua Satu sebuah Persatuan penulis, yang pada anggapan sesetengah peserta sangat jelik dan mendukacitakan. Kalau naluri  penulis ada dalam dirinya tentu sekali beliau maklum sentimen golongan ini yang memegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan. Mentelah lagi ramai dalam kelompok ini menganuti ideologi politik yang berbeza.

               Sebagai ahli politik yang berpengalaman, tentu sekali dapat membezakan bentuk ceramah yang   sesuai  disampaikan di hadapan kelompok khalayak yang mendengar. Ceramah politik iseng-isengan dan yang hanya sesuai didengar oleh orang kampung dan pendalaman tentu sekali tidak sesuai diucapkan dalam khalayak sasterawan dan cendiakawan.

 Kalau hal yang sama diucapkan, diulang-ulang dengan penyampaian yang klise tanpa lontaran pemikiran yang membina, ianya bukan saja merupakan suatu penghinaan, akan tetapi merendahkan daya fikir golongan ini. Apa lagi beliau mengambil masa hampir satu setengah jam ‘berkempen’ pada majlis penutupan Hari Sastera itu. Maka sebab itulah sasterawan dari Perlis itu mengungkapkan, “apa depa ingat kita ni tak ada akalkah? Bodohkah?”

             Para sasterawan dan budayawan ini mahu tahu komitmen kerajaan negeri dalam  kelangsungan  perjuangan mereka bagi memastikan sastera, bahasa dan budaya  Melayu  terus berkesinambungan dan dipertahankan.  Sudahkah disediakan prasarana dan pelan untuk mewujudkan “Melaka Sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban Serantau?” Ini yang kepingin didengar, bukan kempen politik eceran. 

               Dalam ucapan yang sarat dengan sentimen politik itu juga diselitkan sindiran terhadap salah seorang Sasterawan Negara yang dianggapnya sebagai sudah ‘menyeleweng akidahnya.’ Saya kira ini juga kurang wajar kerana setiap individu waimah dia orang biasa, penulis atau sasterawan berhak memihak kepada mana-mana organasasi yang diyakininya memperjuangkan keadilan dan kebenaran mengikut prespektifnya sendiri.

 Seperti juga sesiapa dalam kalangan  sasterawan/penulis yang yakin terhadap perjuangan UMNO, itu hak mereka dan  harus dihormati hak dan pendirian itu. Sekiranya seorang Sasterawan Negara yang sudah berpaling ke aliran lain, itu haknya dan tidak siapa harus mempertikaikannya. Kalau kita saling hormat menghormati hak dan pandangan yang berbeza, maka percambahan idea ke arah pemikiran kritis dan intelektual akan terbina dengan sendirinya. 

             Berbalik kepada Sambutan Hari Sastera ke-15 yang diadakan di Melaka kali ini dengan tema, “Melaka Sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban Serantau,” walaupun kelihatan berjaya, namun ada sedikit kecacatan di sana sini. Bagi saya yang jelas cacatnya,  hari besar sastera ini tidak dimanfaatkan untuk merangka  strategi dan pelan  tindakan untuk merealisasikan tema atau tajuk yang diangkat itu. Jangan dianggap sebagai tema saja, akan tetapi harus dijadikan falsafah perjuangan peradaban serta  ditanamkan tekad untuk menjadikannya  matlamat.  

              Sudah lima belas kali Hari Sastera diadakan, bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 1-3 Ogos 1972, dan  yang ke-14 telah diadakan di Kuantan, Pahang pada 26-28 Ogos 2007, namun acara yang sama juga diulang-ulang.  Saya pernah menegur  selepas sambutan itu di Kuantan,  malangnya kelainan masih tidak terkesan pada sambutan yang ke-15 ini. 

           Oleh hal yang demikian, maka pertemuan kali ini hanya pertemuan biasa-biasa saja tanpa menjurus kepada  perubahan ke arah penjanaan pemikiran yang jitu, mampan, kritis dan realistik. Setiap kali Hari Sastera diadakan, pembentangan kertas kerja, deklamasi puisi dan kenduri sastera (makan-makan), bagaikan menjadi  sesuatu yang wajib. Pembentangnya pula terlalu ramai sehinggakan seorang peserta menyuarakan perkara ini kerana kesuntukan masa untuk peserta berpeluang menyertai perbincangan secara aktif dan positif. Isi kertas kerja pula masih berada ditakuk lama, membicarakan subjek yang sama, penuh dengan rintihan dan tidak menjurus kepada pembinaan pemikiran kritis dan futuristik.    

            Lebih malang lagi apabila kelompok penulis yang dianggap muda  gagal mencipta  suatu gagasan atau visi seperti tajuk dialog yang disediakan berjudul, “Penulis Muda dan Visi Peradaban Malaysia.” Malah para panelnya tidak memfokuskan tajuk perbincangan, sebaliknya terpesong daripada mauduk. Seharusnya golongan muda ini melahirkan suatu gagasan atau visi bagi membina peradaban Malaysia, tentunya berasaskan peradaban Melayu serantau.

               Masalahnya pula tafsiran Melayu itu sendiri berbeza-beza, tidak disepakati oleh para panel dan peserta yang terdiri daripada wakil-wakil Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Di Malaysia tafsiran Melayu mengikut Perlembagaannya ialah orang Melayu yang bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Tafsiran ini sudah tidak relevan lagi kerana sekarang ini sudah ramai Melayu  murtad.

            Menurut Djamal Tukimin, takrif Melayu mengikut sosio politik setempat. Di Singapura ada dua kategori Melayu, satu seperti tafsiran di Malaysia dan satu lagi orang-orang Philipina  yang bukan Islam ditakrifkan juga sebagai Melayu. Manakala di Indonesia Melayu hanya terdapat di profinsi Riau; walau bagaimanapun menurut seorang peserta dari Indonesia, rumpun Melayu serantau yang bertutur dalam bahasa Melayu tidak kira Islam ataupun tidak harus ditakrifkan sebagai Melayu termasuk Philipina, Patani dan Kemboja.  Ini disokong oleh Jasni Mat Lani dan Paul Naggang dari Sabah dan Sarawak.

           Istilah Melayu ini menjadi kalut dalam penafsirannya, maka pencarian dunia Melayu dunia Islam selama ini seolah-olah menimbulkan kekeliruan pula. Kalau mengikut kefahaman wakil Indonesia, Singapura, Sabah dan Sarawak, maka pencarian dunia Islam tidak relevan lagi. Yang harus menjadi pencarian ialah dunia Melayu sahaja, kerana Melayu itu tidak semestinya Islam.  Islam agama sejagat, bukan milik orang Melayu saja.  Agama hanya anutan, manakala Melayu adalah bangsa (keturunan). Konsep Melayu kontemporari ini  menepati realiti dalam Umno  yang menerima keahliannya daripada kalangan Pribumi di Sabah dan Sarawak, walaupun bukan beragama Islam; meskipun bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

         Tafsiran Melayu ini harus disepakati bersama terlebih dahulu sebelum membicarakan tamadun Melayu pada sekala yang lebih besar. Melayu pada tanggapan sesetengah budayawan dan sejarawan ialah pribumi yang tersebar di seluruh Nusantara yang bertutur dalam bahasa Melayu. Namun Melayu tidak boleh dipisahkan daripada tamadun Buddha, Hindu dan Islam. Maka pencarian mentafsirkan Melayu harus diteruskan dan komitmen daripada pemerintah serantau dalam pengkajian akar Melayu itu harus dijadikan agenda utama dan disepakati bersama.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.