“UMNO sakit, musuhi Melayu” |
Posted on Wednesday, April 04 @ 06:05:17 CDT by paktam
SUBANG JAYA: Adalah salah untuk menganggap UMNO sebagai sebuah parti yang membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu kerana parti itu sudah tidak lagi berbuat demikian – paling jelas dalam isu royalti minyak Kelantan di mana majoriti rakyat negeri Cik Siti Wan Kemabng adalah orang Melayu.
Demikian intipati hujah blogger Sakmongkol AK47 atau Datuk Ariff Sabri, bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak, apabila ditanya bagaimana caranya untuk meyakinkan orang Melayu supaya tidak takut mengundi Pakatan Rakyat.
Demikian intipati hujah blogger Sakmongkol AK47 atau Datuk Ariff Sabri, bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak, apabila ditanya bagaimana caranya untuk meyakinkan orang Melayu supaya tidak takut mengundi Pakatan Rakyat.
Beliau berkata demikian dalam ronda siri jelajah “Kenapa Saya Pilih DAP” anjuran Roketkini yang diadakan di sini pada Ahad lalu dengan kerjasama Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh serta dipengerusikan oleh Penyelaras Roketkini, Mazir Ibrahim.
Katanya, DAP jauh lebih baik berbanding UMNO yang mengamalkan politik kronisme dan rasuah, sebagaimana yang dibuktikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Beliau yang juga bekas ADUN Pulau Manis sewaktu menjadi ahli UMNO memuji DAP yang bebas daripada gejala rasuah, penyelewengan dan korupsi.
Penganalisis politik yang juga bekas veteran UMNO, Aspan Alias, yang hadir sebagai ahli panel dalam sesi diskusi tersebut pula mengatakan UMNO yang asal sudah mati dan UMNO yang ada sekarang hanyalah bayangan daripada UMNO yang ada dulu.
“UMNO sekarang dan rasuah ibarat aur dengan tebing; saling memerlukan antara satu sama lain,” tambah beliau lagi yang turut mengakui bahawa 41 tahun daripada usianya telah dibazirkan di dalam sebuah parti yang selepas tahun-tahun 1980-an bukannya membela nasib orang Melayu secara keseluruhan, tetapi hanya bertumpu kepada segolongan kecil kroni sahaja.
Menjawab soalan hadirin yang memenuhi auditorium Kompleks 3C Subang Jaya, kedua-dua ahli panel itu mengakui bahawa mereka menyertai DAP kerana kecewa dengan sikap dan pembawakan UMNO yang ‘sakit’.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari, menjelaskan sukar untuk dijelaskan jumlah sebenar ahli-ahli Melayu dalam DAP berikutan penyertaan yang semakin bertambah akhir-akhir ini.
“Berapa ramai ahli Melayu DAP? Kita tidak tahu. Tidak ada ruang bertanya soal keturunan atau kaum pada borang keahlian,” ujar beliau berseloroh.
Menurut beliau lagi, UMNO sudah terlalu lama menakutkan orang Melayu dengan mengatakan bahawa DAP adalah parti chauvinis Cina, komunis dan anti-raja, sedangkan perjuangan DAP adalah untuk demokrasi, keadilan dan peluang saksama.
Aspan dan Ariff menyerahkan borang keahlian mereka kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada konvensyen DAP di Shah Alam Januari lalu.
Siri jelajah “Kenapa Saya Pilih DAP” adalah usaha untuk menerangkan kepada umum tentang tipu daya para pemimpin UMNO terhadap DAP serta mengapa rakyat perlu membuat perubahan jika ingin melihat Malaysia bebas dari gejala rasuah, penindasan, penyelewengan dan politik perkauman. – Roketkini.com
0 orang berkata:
Post a Comment