Datuk Mohd Fatmi Che Salleh
Datuk Mohd Fatmi Che Salleh
 
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menarik balik kenyataan berkaitan dengan Bersih 3.0 berikutan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa adalah haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demontrasi.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, sebenarnya sebelum fatwa itu mengeluarkan kenyataan, beberapa tokoh dan penggiat agama sudah menyatakan perkara itu haram.

“Sebagai seorang Tok Guru, Nik Aziz mesti tahu apa yang perlu dibuat olehnya dan beliau perlu fikir semula kenyataan itu.

“Beliau sebelum ini menyokong perhimpunan Bersih dan mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk sokongan itu, jadi terpulang kepada beliau untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gelombang Patriotik di Auditorium Kesenian dan Kebudayaan, Tanjung Chat, di sini, hari ini.

Dalam program itu, seramai 70 bekas anggota polis yang berkhidmat semasa Darurat dan tidak menerima pencen diberikan RM3,000 setiap orang sebagai mengenang jasa mereka menjaga keamanan negara.

Mohd Fatmi berkata, secara logiknya, mereka yang menyokong perhimpunan Bersih itu wajar menarik semula kenyataan, malahan fatwa itu menyatakan sesiapa yang menyertai Bersih haram kerana memporak-porandakan kemananan negara.

Menurutnya, tindakan Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga dan lain-lain mereka yang terlibat akan diambil tindakan dan kerajaan tidak mengambil ringan mengenainya.

Semalam, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan kenyataan pengharaman umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.