Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Bekas MB Kedah sedia disiasat jika ada penyelewengan

21 November 2012
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada sebarang penyelewengan ketika beliau memegang jawatan itu.
  
Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, Ketua Pembangkang DUN itu meminta kerajaan negeri sekarang supaya tidak menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan negeri sebelum ini, terhadap kegagalan mereka, tetapi gagal membuktikan berlakunya penyelewengan.
  
Mahdzir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pedu berkata kerajaan negeri sekarang mengeluarkan senarai kegagalan projek kerajaan dahulu tetapi jika dilihat, kegagalan itu hanya disebabkan masalah prosedur tetapi tiada yang disebabkan oleh penyelewengan.
  
"Boleh bawa kes-kes ketika saya menjadi Menteri Besar kepada SPRM dan pihak berkuasa. Apa yang berlaku (kerajaan negeri sekarang) apabila nak defence (pertahan) diri bubuh (salahkan) orang lain," katanya.
  
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi Negeri Datuk Amiruddin Hamzah ketika menjawab soalan Abdullah Jusoh (PAS-Pantai Merdeka), menyenaraikan projek kerajaan negeri sewaktu di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berhadapan dengan masalah.

Sementara itu, Mahdzir dalam perbahasannya turut membangkitkan mengenai Belanjawan Negeri 2013 yang antara lain kerajaan negeri menyasarkan kutipan premium tanah yang dianggarkan RM150 juta tahun depan.

  
"Ini terlalu tinggi... jika dilihat sejak 2007, purata tahunan premium tanah adalah sekitar RM40 juta setahun. Jadi kerajaan negeri kena beri penjelasan bagaimanapun kutipan RM150 juta itu boleh dicapai begitu tinggi kerana ia akan memberi kesan kepada belanjawan negeri," katanya.
  
Mahdzir turut membangkitkan kebimbangannya tentang cadangan kerajaan negeri mahu membuka ladang buah-buahan di Genting Bunga berhampiran Tasik Pedu, yang merupakan kawasan tadahan.
  
"Isu di sini adalah proses penebangan balak. Ia kawasan hutan simpan, kawasan itu keseluruhan 500 hektar tetapi 400 hektar dah ditebang sekali gus. Kalau nak buat pun buatlah secara beransur-ansur," katanya.
  
Mahdzir turut meminta kerajaan negeri supaya meneliti semula pelaburan yang mahu dibuat apabila beberapa pelaburan yang dibuat gagal mencapai hasilnya sehingga ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara.

"Projek pembalakan Kedah Corporation Berhad (KCB) di Papua New Guinea (PNG) mengalami kerugian. Satu lagi projek adalah projek untuk membeli daging lembu di Australia untuk dijual di Indonesia. Satu perjanjian antara syarikat di Kedah dan syarikat di Australia tetapi tak jadi...ditarik balik," katanya.

  
Beliau berkata isu pihak daripada parti yang menguasai kerajaan negeri yang mempunyai masalah dengan pegawai tadbir kerajaan negeri (KCS) sehingga mengadakan demonstrasi untuk mendesak Setiausaha Kerajaan Negeri meletak jawatan tidak sepatutnya berlaku.
  
"Pentadbiran kerajaan negeri adalah orang yang sama iaitu KCS. KCS dah ada lebih 100 tahun. Mereka adalah kumpulan yang sama ketika di bawah BN dan Pakatan Rakyat. Jangan biarkan perkara ini menjadi masalah dari segi persepsi rakyat," katanya.
  
Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) dalam perbahasannya pula berkata sikap berdiam diri kerajaan negeri dalam kes melibatkan KCS itu begitu mengelirukan seolah-olah kerajaan negeri merestui tindakan yang diambil terhadap KCS dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
  
Sementara itu, Datuk Nawawi Ahmad (BN-Kuah) berkata belanjawan yang dibentangkan semalam dengan jangkaan hasil RM640 juta manakala perbelanjaan RM1.1 bilion menunjukkan defisit hampir 72 peratus.
  
"Defisit ini lebih teruk daripada Greece. Ia seolah-olah kerajaan negeri mengisytiharkan Kedah akan bankrap tahun depan. Dewan Perniagaan Cina Negeri Kedah pun ada cakap ekonomi di Kedah masuk gear 'gostan'," katanya. - Bernama

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.