Rafizi dakwa syarikat tidak pengalaman urus projek tambahan
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
KUALA LUMPUR - PKR mendakwa seorang menteri kanan di Jabatan Perdana Menteri mempunyai hubung baik dengan salah seorang individu yang mempunyai kaitan dengan Badan Perhubungan Umno Sabah berhubung dana politik RM40 juta.

Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli berkata, pihaknya memperoleh bukti bahawa individu terbabit mempunyai hubungan baik dengan keluarga menteri terbabit.


"Bukti yang kami perolehi sejak setahun lalu, salah seorang anak menteri berkenaan menggunakan kenderaan mewah jenis Hummer milik individu berkenaan.


"Persoalannya sekarang jika benar mereka ini tiada hubungan, kenapa anak menteri terbabit menggunakan kenderaan itu, malah dalam Dewan Rakyat menteri berkenaan dilihat mempertahankan individu berkenaan ketika Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan sumbangan kepada Umno Sabah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.


Mohd Rafizi berkata, individu terbabit turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi menteri tersebut bermati-matian mempertahankannya.


Katanya, PKR percaya berlaku unsur rasuah diantara menteri dan individu berkenaan berdasarkan manfaat kewangan melalui penggunaan kereta mewah itu.


"Kami mahukan jawapan daripada menteri berkenaan, kerana sikapnya yang mempertahankan individu terbabit, malah beliau juga pernah menafikan ada hubungan dengan individu berkenaan.


"Bagaimanapun bukti yang kami perolehi amat berlainan sekali, kerana mereka dilihat mempunyai hubungan baik," katanya.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana individu yang dipertahankan beliau.


"Ini tidak benar, saya dengan Chia adalah rakan, jika dia dipinjamkan kereta saya tidak tahu, anda kena tanya kepada anak saya," katanya.


Nazri juga menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengaruh ke atas SPRM atau badan kehakiman.