Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

DEME DAH SENTUHPUN TUANKU HU HU HU

Raja Nazrin: Jangan sentuh sensitiviti Islam

7 November 2012
Raja Dr Nazrin Shah - Rais Yatim
Raja Dr Nazrin Shah (kanan) diiringi Datuk Seri Dr Rais Yatim semasa berangkat hadir pada Syarahan Perdana Budaya - Foto Bernama
 
PETALING JAYA - Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah mengingatkan rakyat, khususnya dari kalangan bukan Islam supaya tidak sesekali menyentuh sensitiviti agama Islam yang telah dipersetujui bersama ketika pembentukan negara semata-mata untuk mengaut keuntungan politik.
  
Baginda bertitah dalam menjamin kelangsungan sebuah negara bangsa yang aman, berdaulat dan sejahtera rakyat harus kekal menghormati piagam awal yang telah dipersetujui bersama yang menjadi asas utama penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu tidak menyentuh perkara berkaitan sensitiviti agama.
  
Titah baginda, sensitiviti agama tidak mengizinkan isu agama diperdebatkan secara terbuka kerana yang kurang arif berkemungkinan terlajak kata sehingga memetik contoh-contoh yang jahil.
  
"Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan semakin berani dilanggar, malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam melalui ucap kata bernada mempersendakan syariat, memperkecilkan akidah umat Islam dan merendah-rendahkan amalan Islam.
  
Perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan, secara terbuka dibimbangkan berkemungkinan menjadi punca tercetusnya tragedi buruk kerana agama adalah perkara paling sensitif, berpotensi besar mencetuskan konflik yang memungkinkan persengketaan," titah baginda.
  
Itu merupakan satu daripada enam unjuran yang dirakamkan baginda ketika menyampaikan syarahan perdana budaya bertajuk "Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa" di sini hari ini dalam memastikan kelangsungan survival negara bangsa yang diinginkan, terlaksana.
  
Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu turut dihadiri menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta beberapa jemputan khas termasuk artis.
  
Menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak menghormati Raja-Raja Melayu, baginda bertitah tindakan sedemikian wajib dihentikan serta merta dan secara tegas dicegah dari dibenarkan terus berlaku.
  
Baginda bertitah institusi istana sentiasa membuka pintu rundingan kepada siapa sahaja yang berhasrat menyembahkan pandangan untuk mendapatkan panduan dan pedoman melalui perbincangan secara tertutup tanpa perlu diuar-uarkan.
  
"Kuasa raja sebagai ketua agama Islam wajib, malah amat wajib dihormati dan agama Islam jangan sama sekali dijadikan alat untuk memancing laba politik baik di kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi bagi kalangan yang bukan Islam," titah baginda.
  
Unjuran kedua yang dititahkan baginda ialah aspek kesetian kepada negara yang perlu dimanifestasikan setiap rakyat iaitu kewajipan menghormati dua lambang negara iaitu Jalur Gemilang dan lagu Negaraku.
  
Baginda bertitah perbuatan segelintir individu memijak Jalur Gemilang serta mempersenda lirik dan irama lagu Negaraku membuktikan sikap tidak patriotik mereka sedangkan bendera negara harus dimuliakan hinggakan lambang negara itu tidak harus dibiarkan berkelana, tertinggal di tiang-tiang selepas sesuatu upacara.
  
Ia bukan sahaja tidak boleh dipijak, malah turut dilarang daripada di potong-potong, dijadikan material, dijahit dijadikan baju, topi atau selimut dan jika ditampal dibaju sekalipun, ia dimuliakan dengan diletakkan di dada, titah baginda.
  
Sambil mahu supaya kesilapan asas itu tidak berulang, baginda menitahkan agar perbuatan seumpama itu diberikan nasihat sewajarnya di mana perbuatan menggunakan kain bendera sebagai material baju, seluar dan topi tidak harus dibenarkan terus berlaku.
  
Selain itu, baginda juga mahu supaya ketelusan dan integriti pentadbiran yang didukung tiga cabang utama meliputi kerajaan, eksekutif dan kehakiman dielakkan daripada sebarang kepincangan kerana keadaan itu jika merebak di peringkat institusi pelaksana turut memberi kesan kepada kedaulatan Raja-Raja.

Dalam unjuran keempat, baginda mengingatkan agar keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang menjadi kunci yang akan menentukan ketenteraman awam dan kestabilan politik tidak dilaksanakan secara selektif atau gagal dikuatkuasakan sepenuhnya.

  
Baginda bertitah dalam mencapai wawasan negara maju, dua aspek itu sama sekali tidak boleh dikompromi kerana sebuah negara maju amat menekankan aspek pentadbiran berlandaskan undang-undang dan keadilan.
  
Dalam memastikan kelangsungan survival negara bangsa berjalan lancar, baginda juga mengingatkan supaya pemimpin, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai kumpulan politik yang berlainan parti dengan kerajaan persekutuan supaya memahami konsep federalisme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan agar tidak ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedaulatan Raja dan institusi Yang Dipertua di negeri-negeri.
  
Baginda bertitah hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kini menjelmakan satu dimensi baru hingga memeningkan penjawat awam yang berkhidmat di negeri-negeri kerana telah berlaku keadaan pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri, dilarang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri oleh Raja.
  
Titah baginda, senario yang tidak mencerminkan kematangan budaya politik negara bangsa dan kurang mendalamnya kefahaman di kalangan penjawat awam berkenaan konsep Federalisme menyebabkan mereka menghadapi dilema ketika memenuhi tanggungjawab untuk mengimbangkan kesetiaan di antara pihak berkuasa negeri dengan Persekutuan, terutama kepada mereka yang bertugas di negeri yang dikuasai kumpulan politik berlainan parti dengan kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, baginda mahu satu atur urusan orde yang baru antara kuasa negeri dan kuasa Persekutuan diwujudkan, supaya tidak akan menyulitkan penjawat awam untuk menyempurnakan amanah dan tidak menjadi mangsa kepada pertelingkahan politik berpanjangan.

  
"Konsep Federalisme wajib difahami dan diperkenalkan orientasi baru terutama di kalangan penjawat awam agar kelainan politik itu jangan sampai menjejaskan hubungan warga, hingga memungkinkan warga kembali bersifat parokial kenegerian, lalu semakin tipis kesetiaan kepada negara," titah baginda.
  
Dalam unjuran terakhir, baginda mengingatkan pemimpin politik supaya berperanan memastikan suhu politik tidak terlalu panas dan sekata tidak menjadikan pilihan raya sebagai satu peperangan sivil.
  
Titah baginda pilihan raya adalah satu daripada instrumen utama dalam sistem kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen dengan rakyat diberikan hak untuk menentukan kerajaan.
  
"Pilihan raya bukan medan perang yang bermatlamatkan menang semua di mana kerajaan yang terbukti memenuhi janji dan mencipta rekod kejayaan membangunkan negara bangsa, sewajarnya memiliki keyakinan untuk kembali mendapat sokongan rakyat," titah baginda.
  
Sementara itu, Rais berkata syarahan yang menjadi tradisi kepada pembuka tirai tamadun pemikiran bersama enam unjuran yang dikemukakan baginda jelas memberi signifikasi bahawa setiap pandangan atau kritikan harus diterima dengan terbuka.
  
Beliau berkata sama ada kerajaan atau pembangkang, setiap unjuran yang dibuat baginda wajar diterima secara tenang melalui kesahihan proses berfikir disamping menterjemahkannya kepada keadaan sosial yang tenang dan tidak berkecamuk dengan konflik.
  
"Syarahan ini akan diteruskan dengan kita akan memberi lebih penekanan kepada lunas keintelektualan yang membawa perubahan minda kepada masyarakat dan untuk itu, satu buku kecil mengenai kandungannya akan dibuat bagi diedarkan kepada khalayak," katanya.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.