Tian Chua
Tian Chua
 
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) tidak mahu mengambil berat komen-komen pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung siapa calon terbaik memegang jawatan perdana menteri apabila pihaknya memerintah kelak.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berpendapat, berbangkitnya isu itu membuktikan parti lain mampu menjadi orang terpenting dalam negara selain calon dari Barisan Nasional (BN) yang memerintah lebih lima dekad.


"Kita tidak mahu ambil berat apa yang dibangkitkan, kita hanya mahu bahas isu negara.


"Tetapi isu perdana menteri ini, nampaknya seolah Umno dan BN setuju calon perdana menteri datang daripada parti lain.


"Sebelum ini tidak langsung dalam gambaran imaginasi rakyat ada calon parti lain, calon perdana menteri ini ada kemungkinan dari DAP, Pas atau PKR.


Itu menunjukkan suasana politik amat berbeza.


"Umno bukan lagi monopoli kepimpinan negara dan ini telah dicerminkan dalam sentimen yang ditunjukkan oleh Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya di lobi Parlimen hari ini.


Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sinis meminta PR menamakan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai perdana menteri kalau parti itu memerintah.


Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, beliau tidak mahu ambil berat apa yang dikatakan Dr Mahathir.


"Saya anggap Tun Mahathir sudah pencen dari politik saya tidak mahu ambil berat apa yang dia cakap. Apa dia cakap sebagai pendapat individu, apa yang pasti dia bukan lagi pemain dalam arena politik masa kini," katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok juga sependapat dengan Chua untuk tidak ambil berat cadangan yang diutarakan Dr Mahathir.


"Tak perlu ambil peduli apa dia (Dr Mahathir) cakap. Dia saja nak panaskan isu ini sahaja.


"Jadi kita tidak mahu bincang hal ini," katanya yang juga Setiausaha Organisasi DAP.