Pas: Pahang dan Kelantan layak royalti, bukan wang ihsan
1 November 2012
"Pas Pahang turut menyarankan jawatankuasa khas bagi mengkaji bayaran hasil petroleum bagi negeri-negeri di Pantai Timur yang dianggotai wakil daripada tiga kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang agar menyokong Pahang dan Kelantan supaya dapat menikmati hasil minyak secara pembayaran royalti dan bukannya melalui wang ihsan," kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini.
Sehubungan itu, beliau juga mempersoalkan status jawatankuasa khas yang dibentuk oleh Kerajaan Pusat dalam soal menentukan bayaran royalti minyak.
"Apakah status jawatankuasa khas ini yang sudah lama tidak kedengaran berita?" katanya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Pahang atas penemuan minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM307, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, pihaknya berharap negeri itu tidak dianiaya seperti Kelantan dalam sistem pemberian wang ihsan.
"Sepatutnya semua negeri termasuk Pahang bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974," kata beliau.
Tuan Ibrahim juga berkata, semua negeri yang menandatangani perjanjian dengan Petronas pada 1975/76 akan mendapat bayaran tunai sebanyak lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dalam negeri berkenaan.
Katanya, sistem wang ihsan adalah tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Pahang dan Kelantan kerana ia amat tertakluk pada budi bicara Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri.
"Kelantan, yang minyaknya dicuri bertahun-tahun hanya diberi wang ihsan dalam lingkungan kurang daripada RM25 juta dibandingkan dengan Pahang, sebelum korek dah diumum bakal mendapat RM100 juta setahun.
"Ini membuktikan negeri yang ditadbir oleh pembangkang akan teraniaya dalam sistem ini kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan dasar federalisme secara profesional dan sering membalas dendam terhadap rakyat yang menolak mereka seperti keengganan mereka membayar royalti kepada Kelantan," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment