November 20, 2012
DAP Minta Kerajaan Iktiraf HAMAS!
Iktiraf pilihanraya Palestin 2006, HAMAS kerajaan sah – Chin Tong
KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER: Kerajaan Malaysia digesa mengiktiraf HAMAS
sebagai kerajaan sah Palestin sebagaimana keputusan pilihanraya negara
itu pada 2006.
Setiausaha Antrabangsa DAP, Liew Chin Tong dalam satu wawancara
berkata, bahawa Amerika Syarikat dan komuniti antarabangsa seharusnya
kembali kepada keputusan pilihanraya tahun 2006 dan mengiktiraf kerajaan
yang dipilih warga Palestin.
Bagi beliau, pengiktirafan antarabangsa terhadap kerajaan sah
pimpinan HAMAS itu akan memberi ruang dan peluang kepada Palestin untuk
wujud sebagai negara yang berdaulat serta membolehkan solusi dua negara
beroperasi.
Bercakap selepas sidang tergempar Dewan Rakyat yang mengecam serangan
Israel terhadap wilayah Gaza di Palestin, Chin Tong berkata,
pengiktirafan terhadap HAMAS sebagai kerajaan sah Palestin adalah
penting supaya HAMAS tidak lagi dilayan seolah-olah sebuah kumpulan
pengganas.
Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menambah bahawa
adalah tidak wajar bagi Amerika untuk bersikap hipokrit dan seharusnya
menghormati keputusan pilihanraya Palestin pada 2006 itu dan mengiktiraf
proses demokrasi di Palestin.
Selain Chin Tong, mesej yang sama turut disampaikan Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu membahaskan usul sama di Dewan
Rakyat pagi tadi. Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia mengiktiraf
kerajaan sah pimpinan HAMAS di Palestin yang dipilih secara demokratik.
Ahli Parlimen PAS Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar pula menambah
bahawa selain mengiktiraf HAMAS sebagai kerajaan sah Palestin, Malaysia
juga wajar mengisytihar Israel sebagai sebuah negara pengganas dan
memutuskan semua hubungan dengan Israel termasuk penjualan kelapa sawit
kepada negara itu. – Roketkini.com


0 orang berkata:
Post a Comment