Skandal RM40 Juta: KEADILAN Lapor SPRM Isnin Ini
KEADILAN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Nazri Aziz dan jutawan balak Sabah, Michael Chia pada 3 petang Isnin ini
berhubung skandal RM40 juta melibatkan pemimpin Umno Sabah.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, Seksyen 16 Akta SPRM 2009
menetapkan perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan dan manfaat
diterima orang lain.
“Penafian Nazri bahawa anaknya terima habuan kewangan tiada kaitan dengan beliau tidak boleh diterima.
“Menurut Seksyen 16(A), beliau boleh disiasat jika anaknya terima
habuan dari Michael Chia atas kedudukannya sebagai menteri kanan,”
katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Rafizi berkata, Seksyen 16(B) menguatkan lagi perkara ini dengan
menetapkan perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun tiada suapan sebenar
diterima.
“Rasuah tetap berlaku walau ia sekadar (di peringkat) perbincangan,” jelasnya lagi.
Semalam, beliau mendedahkan gambar menunjukkan anak Nazri – Nedim
menggunakan kenderaan mewah jenis Hummer warna hitam bernombor
pendaftaran WNX 9776 yang didaftar atas nama Chia.
Dalam sidang medianya pagi tadi, Rafizi turut menayangkan video
menunjukkan kenderaan itu keluar masuk di kawasan kediaman Nedim di
Clearwater Residence di Jalan Changkat Semantan, Kuala Lumpur.
Beliau turut mencabar Nazri untuk mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan ini fitnah semata-mata.
“Kalau (saya) fitnah silakan bawa ke mahkamah, seperti yang dilakukan Datuk Seri Shahrizat Jalil dulu.
“Saya yakin dakwaan ini betul. Saya tidak minta mana-mana Ahli Parlimen bawa kes ini…Saya tidak perlu berselindung di
sebalik kekebalan Parlimen,” tegas Rafizi.
sebalik kekebalan Parlimen,” tegas Rafizi.
ICAC tutup kes Chia sebab tiada kerjasama Peguam Negara
Rafizi berkata, laporan ke atas Chia Isnin ini dibuat supaya satu siasatan baru dapat dijalankan ke atasnya.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua yang turut hadir dalam sidang media
itu menyangkal dakwaan Nazri di Parlimen bahawa Suruhanjaya Bebas
Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) menutup kes tersebut selepas SPRM
mendapati wang milik Chia ditujukan kepada Umno Sabah, bukan Ketua
Menterinya, Datuk Seri Musa Aman.
“ICAC tidak dapat kerjasama dari Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani
Patail…Mereka terpaksa tutup kes selepas tamat tempoh (penyiasatan) tiga
tahun.
“Jika benar (tiada rasuah), Peguam Negara perlu tunjukkan dokumen
dari ICAC sendiri. Dulu NFC pun pada mulanya kata tiada apa-apa
(penyelewengan). Jadi kita tidak percaya hanya dengan kata-kata,”
sambung Ahli Parlimen Batu itu.
Pada 2008, ICAC menahan Chia di Hong Kong bersama-sama wang Singapura bernilai RM40 juta.
0 orang berkata:
Post a Comment