• Datuk Seri Jamil Khir Baharom Datuk Seri Jamil Khir Baharom
1 / 1
PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan sehingga dibenar menguruskan jenazah rakyat Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata usaha itu akan diteruskan meskipun belum mendapat kebenaran untuk memasuki lokasi nahas.

"Kita berharap dapat menyempurnakan urusan ini secepat mungkin. Oleh itu kita juga menghubungi masjid-masjid setempat untuk mohon bantuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bernilai RM11.84 juta di Masjid Putra.

Jamil Khir berkata segala persiapan untuk menguruskan jenazah telah disediakan misalnya kain kapan dan sebagainya.

Jakim menghantar 10 pegawainya termasuk dua ustazah ke Kiev, ibu negara Ukraine, bagi menguruskan keperluan jenazah mangsa Islam.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia pada Khamis. 

Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab.

Sementara itu Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP turut menyampaikan bantuan Aidilfitri Baitulmal MAIWP kepada 20,269 asnaf fakir miskin dan mualaf bernilai RM10.13 juta, RM600,000 kepada 3,000 pengawal keselamatan dan RM50,000 kepada 100 pendakwah.  - Bernama