• MH17
1 / 1
KUALA LUMPUR - Sekumpulan pakar antarabangsa memulakan siasatan mereka ke atas penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang terhempas, kata laman sesawang rasmi Presiden Ukraine Petro Poroshenko hari ini.

Menurut laman itu http://www.president.gov.ua, kerajaan Ukraine membantu memudahkan kerja penyiasatan dan mengarahkan kumpulan pakar antarabangsa itu diberikan kemudahan pesawat presiden.

"Pagi ini 14 pakar tiba di Kharkiv dan segera memulakan kerja mereka. Sebuah pesawat khas untuk misi kemanusian juga berlepas dari Netherlands ke Kharkiv membawa tujuh pakar berkaitan, peralatan khas dan keranda," kata laman sesawang
itu.

 Laman sesawang itu berkata, pakar-pakar juga memeriksa foto-foto yang dihantar menggunakan e-mel.   

 "Berdasarkan analisis suruhanjaya penyiasat, adalah disyorkan untuk memberi perhatian terhadap butiran tertentu kapal terbang itu dan merakamkan foto panorama terhadap bahagian yang berlainan pada pesawat berkenaan," katanya.

Laman sesawang itu berkata pagi tadi pakar-pakar di tempat kejadian memeriksa dengan teliti dan mendokumenkan serpihan sayap pesawat itu.

Kemudian kerja suruhanjaya penyiasat itu tertumpu kepada serpihan dek penerbangan, katanya.

Pesawat Malaysia Airlines itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 penumpang termasuk 15 anak kapal terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia, Khamis lepas. 

Ia berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari Khamis waktu Netherlands dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat waktu Malaysia.- Bernama