• mahkamah
1 / 1
BUTTERWORTH - Saksi kelapan pendakwaan memaklumkan Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini bahawa individu dalam rakaman video bertajuk 'Ceramah Perdana Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor,' pada 21 Ogos 2011 ialah Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Wartawan Utusan Malaysia Mohd Asron Mustapha, 32, berkata penulisan beliau bertajuk 'Mat Sabu hina pejuang' yang disiar pada 27 Ogos 2011 adalah hasil penelitiannya selepas menonton video berkenaan, yang diterima daripada seorang pembaca akhbar berkenaan sehari sebelum itu.

"Bahan berita yang berkaitan dengan Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu', berlaku beberapa hari sebelum negara menyambut ulang tahun kemerdekaan.

"Kenyataan Mat Sabu yang berbaur kontroversi itu mempunyai nilai berita untuk disiarkan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim.

Terdahulu, Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan rakaman video berdurasi kira-kira 40 minit itu dipertonton kepada khalayak yang hadir di mahkamah.

Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada  21 Ogos 2011.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan pilihan memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin berkaitan penulisan yang adil dan seimbang, Mohd Asron berkata beliau ada memberi ruang kepada Mat Sabu untuk membuat kenyataan.

Sementara itu, anak Allahyarham Konstabel Marin Abu Bakar Daud iaitu Jamilah  Abu Bakar, 67, berkata beliau terperanjat dan marah apabila menonton laporan yang disiarkan Buletin Utama TV3 pada 31 Ogos 2011 berkaitan isu Bukit Kepong.

"Selepas solat Maghrib, saya berehat sambil menonton berita TV3, tiba-tiba ada berita tentang Bukit Kepong.

"Saya terperanjat dan marah kerana ibu saya meninggal dunia bersama seorang saudara saya, ayah pula cedera parah (dalam kejadian itu), lepas itu kata polis ini  komunis, saya marah sangat," katanya ketika menjawab soalan Ketua Unit Pendakwaan Datuk Razali Che Ani.

Jamilah, seorang ibu tunggal yang menetap di Skudai, Johor Baharu turut memaklumkan bahawa ketika kejadian, beliau berusia empat tahun dan nyaris ditikam komunis namun diselamatkan seorang wanita yang mengakuinya sebagai anak.

Perbicaraan bersambung 6 November depan. - Bernama