• Azizah
1 / 1
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] PKR sebulat suara bersetuju Timbalan Presidenya, Mohamed Azmin Ali untuk menerima jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mohamed Azmin ketika ditemui media di luar ibu pejabat PKR malam tadi berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada parti sebaik sahaja beliau menerima surat pelantikan daripada istana pada jam 3 petang tadi.

Sehubungan itu, satu mesyuarat tergempar biro politik diadakan  pada jam 5 petang, disusuli pula dengan pertemuan bersama semua Adun PKR Selangor pada jam 5.30 petang dan pada jam 6 petang mesyuarat bersama pimpinan tertinggi parti diadakan.

"Sebaik menerima (surat perlantikan) seperti yang saya janjikan pada parti sebelum ini, saya terus maklumkan kepada Ketua Umum ( Datuk Seri Anwar Ibrahim)  tentang perkembangan terbaru itu.

"Saya berterima kasih kepada Presiden parti (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan rakan-rakan pimpinan kerana sebulat suara memilih saya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, " katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kehadrat Illahi kerana Sultan Selangor telah berkenan memilih beliau menjadi pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Isnin lalu, spekulasi mengatakan Mohamed Azmin bakal menerajui negeri Selangor tersebar luas apabila beliau antara tiga Adun yang disenarai pendek selain Iskandar Abdul Samad ( Adun Chempaka- Pas)  dan  Dr Mohd Yunus Hairi (Adun Sijangkang- Pas).

Sementara Anwar yang ditemui selepas mesyuarat itu juga enggan memberi memberi komen lanjut hanya memaklumkan yang keputusan mesyuarat yang diadakan itu positif.

"Mesyuarat tadi keputusannya positif," katanya ringkas.

Pemilihan Mohamed Azmin disifatkan bakal menamatkan kemelut yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu sebaik Abdul Khalid dipecat daripada PKR dan didesak untuk meletak jawatan.

Pas sebelum ini juga telah menegaskan yang tidak akan merebut jawatan menteri besar itu kecuali atas permintaan istana.