• Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat
1 / 1
ALOR SETAR - Pemimpin PR disarankan menerima pandangan secara positif antara satu sama lain sekiranya berlaku perbezaan pendapat bagi mengelakkan masyarakat membuat spekulasi seolah-olah Pas akan disingkirkan daripada pakatan itu.

Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat berkata isu mengenai ada kumpulan dalam PR dikatakan mahu menyingkirkan Pas secara halus adalah spekulasi semata-mata.

Menurutnya, perkara itu timbul berikutan ada pemimpin yang tidak dapat menerima perbezaan pendapat yang dikemukakan pemimpin lain dan bertindak menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan tidak puas hati tersebut.

“Masyarakat sekarang sudah terdedah dengan teknologi, mereka boleh tengok semua maklumat, kalau ada pemimpin yang luahkan perasaan mereka akan tafsir, sebab itu pemimpin perlu positif terima pandangan orang lain.

“Seperti spekulasi penyingkiran ini, masyarakat luar yang tidak berada dalam situasi sebenar akan menganggap Pas akan disingkirkan atau ada provokasi mahu Pas disingkirkan daripada PR.

“Bagi saya, perkara itu hanya perbezaan pendapat yang berlaku antara pemimpin dalam PR iaitu Pas, PKR dan DAP, tak ada isu penyingkiran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata ada pihak dalam PKR dan DAP yang dilihat tidak suka Pas berada dalam PR dan secara halus sedang berusaha menyingkirkan parti itu melalui beberapa kenyataan yang dikeluarkan segelintir pemimpin kedua-dua parti tersebut.

Dalam pada itu, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa juga turut menyatakan perkara yang timbul tersebut hanya spekulasi masyarakat yang mengikuti perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan pemimpin PR.
 
  “Itu semua spekulasi, jadi lebih elok Majlis Kepimpinan PR selalu bertemu dan bersemuka untuk membincangkan perkara yang selalunya akan mencetuskan perbezaan pendapat seperti isu di Selangor.

  “Sebab kita di peringkat bawah di negeri-negeri sering berjumpa dan berbincang, tak ada pula timbul isu nak singkir siapa-siapa atau mana-mana parti,” katanya.