• Pantai Cahaya Bulan Pantai Cahaya Bulan
1 / 1
SETIAP kali tibanya musim tengkujuh ia menjadi igauan ngeri kepada penduduk di kawasan pinggir pantai negeri Kelantan kerana kehadirannya membawa bersama ombak ganas Laut China Selatan.

Boleh dikatakan seluruh pantai di negeri ini terjejas teruk akibat hakisan pukulan ombak berkenaan sekaligus banyak penempatan penduduk lenyap 'ditelan' laut dalam tempoh lebih 10 tahun lepas dan dianggarkan 2.5 kilometer daratan kini menjadi laut.

Hakisan pantai di Kelantan antara paling kritikal kerana puluhan ribu penduduk di pinggirannya terdedah kepada bahaya dan kehilangan tapak kediaman buat selama-selamanya semasa musim tengkujuh dari Oktober hingga Mac.

Antara pantai yang menjadi penempatan nelayan dan popular sebagai destinasi pelancongan yang terjejas akibat hakisan ialah Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Sabak di Kota Baharu, Pantai Sri Tujoh di Tumpat dan Pantai Irama di Bachok.

Bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada penduduk malah kepada negeri dalam sektor pelancongan.

PENDUDUK BIMBANG RUMAH DIHANYUT KE LAUT

Setiap kali musim tengkujuh, menjadi kebimbangan penduduk yang tinggal di sepanjang pantai sama ada rumah rosak dipukul ombak atau hanyut 'dilarikan' ombak ke laut.

Hakisan juga menyebabkan ribuan pohon kelapa dan tanaman lain yang menyumbang hasil kepada penduduk pinggir pantai tumbang malah warung tempat nelayan menikmati nasi berlauk sebelum mereka ke laut untuk menangkap ikan banyak yang musnah.

Kubu kebal yang pernah menjadi monumen penting sudah bersemadi di dasar laut akibat hakisan pantai. Kubu-kubu kebal itu dibina oleh British untuk menghalang kemaraan tentera Jepun yang mendarat di Kampung Kuala Pak Amat pada 7 Disember 1941.   

Seorang penduduk Pantai Sabak, Hasnah Abdullah, 55, berkata hakisan berkenaan menyebabkan sebuah rumah keluarganya dihanyutkan ke laut manakala rumahnya yang terletak berdekatan sering dimasuki air laut dan pasir.

"Dulu (lebih 10 tahun lepas) rumah mok cik (mak cik) terletak kira-kira 2 kilometer dari laut tapi la ni (sekarang ini) dekat sangat dengan laut (kira-kira 50 meter) ini disebabkan hakisan pantai," katanya kepada Bernama di sini.

Hasnah berkata setiap kali musim tengkujuh beliau dan penduduk lain terpaksa berjaga malam bimbang keselamatan diri dan keluarga daripada dihanyutkan ke laut.

KERAJAAN BINA BENTENG ATASI HAKISAN PANTAI 

Bagi menangani masalah hakisan itu, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai dengan membina benteng daripada batu-batan sepanjang 3.85 kilometer dari Pantai Sabak hingga Pantai Cahaya Bulan melibatkan kos lebih RM13 juta.

Tinjauan Bernama mendapati pembinaan benteng itu mampu mencegah hakisan pantai dan ia melegakan penduduk yang mendiami kawasan berkenaan.

"Walaupun rumah mok cik (mak cik) kini hampir dengan laut tetapi kerajaan sudah bina benteng bagi menghalang pukulan ombak... Alhamdulillah rumah mok cik sekarang lebih selamat," kata Hasnah yang bersyukur dengan usaha yang dilakukan kerajaan bagi menangani masalah hakisan.

Benteng berkenaan yang melibatkan lima fasa pembinaan setinggi 3.8 meter iaitu satu aras yang dapat menahan pukulan ombak di sepanjang Pantai Sabak hingga Pantai Cahaya Bulan.  

Ini berikutan ombak besar atau dikenali ombak pembinasa berlaku di Pantai Cahaya Bulan pada 2011 yang telah menenggelamkan sebahagian kawasan itu kerana ketinggian asal benteng iaitu 3.5 meter tidak mampu menahan ombak berkenaan.   

Jurutera Unit Pelaksanaan Projek Perseketuan Kelantan JPS Negeri, Hasmira Ab Hamid berkata JPS sentiasa memantau bagi memastikan projek pengawalan hakisan pantai yang melibatkan lima fasa itu siap sepenuhnya hujung tahun ini.

"Dengan kepakaran Mewtech Bina Sdn Bhd, fasa kelima projek tersebut telah siap 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini," katanya.

MODEL PEMBANGUNAN KAWASAN PINGGIR PANTAI

Dengan penambahbaikan struktur benteng di Pantai Cahaya Bulan, ia akan menjadi model kepada pembangunan kawasan pinggir pantai yang mengalami hakisan.

Ini kerana selain benteng itu, laluan pejalan kaki dan tempat duduk untuk orang ramai berehat dibina di sepanjang pantai berkenaan yang sudah pasti memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin menikmati keindahan Laut China Selatan.

Walaupun tiada lagi kawasan untuk mandi-manda atau bermain pasir di pantai, ia memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada penduduk malah pengusaha chalet, resort dan medan selera yang kelihatan mula menarik nafas lega apabila isu hakisan pantai yang selama ini 'menghantui' perniagaan mereka diselesaikan.

Seorang pengunjung, Habibah Shahid, 48, berkata pembinaan benteng berkenaan dapat menyelamatkan pantai dan akan menarik kembali pelancong ke kawasan berkenaan.

"Walaupun tidak boleh mandi-manda namun pelbagai aktiviti riadah masih boleh dilakukan di sini seperti berjoging, bermain bola tampar dan bermain layang-layang," kata guru dari Kedah itu.
Para peniaga di sekitar kawasan berkenaan kelihatan gembira dengan pengunjung yang kembali ramai berikutan masalah hakisan pantai berkenaan dapat diatasi.

Mohamad Fitri Salleh, 37, berharap kemudahan yang disediakan kerajaan akan merancakkan perniagaan mereka yang selama ini kurang mendapat sambutan. - Bernama