• Dr Faridah Hassan
1 / 1
SHAH ALAM – Pengawalan ke atas harga minyak petrol dan diesel perlu dilakukan sekiranya harga bahan api di pasaran dunia meningkat pada masa hadapan.

Menurut Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Dr Faridah Hassan, langkah pelaksanaan tersebut perlu diambil kerajaan dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat di negara ini.

“Kerajaan boleh bertindak mengawal harga minyak petrol dan diesel sekiranya harga (minyak) di pasaran dunia melambung.

“Kuasa penetapan harga berada di pihak kerajaan dan penentuan harga minyak mengikut pasaran dunia memerlukan campur tangan pihak kerajaan tempatan,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.

Kelmarin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mengumumkan mulai 1 Disember, penetapan harga runcit RON95 dan diesel akan mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata,  tiada lagi subsidi untuk RON95 dan diesel mulai 1 Disember kerana harga pasaran lebih rendah berbanding harga di pam minyak.

Untuk itu, Hasan berkata, penetapan terbaharu harga RON95 dan diesel pada 1 Disember akan bergantung pada harga pasaran minyak dunia sepanjang November.

Ketika mengulas mengenai pelaksanaan penetapan harga runcit RON95 mengikut kaedah pengapungan terkawal, beliau menjelaskan, harga runcit petroleum negara ditentukan berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM) sejak tahun 1983.

“Pengiraan kadar petrol yang diperkenalkan KDNKK berdasarkan APM. Kerajaan menetapkan harga runcit pada satu paras di mana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit tetapi akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya.

Jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat atau menurun maka harga runcit RON95 juga akan menyusul.

“Pada bulan November 2014, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter yang lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter. Maka kerajaan akan memantau harga pasaran dan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember.

Sekiranya berlarutan harga yang rendah maka dalam jangka panjang ia memberi kesan positif kepada rakyat berdasarkan APM,” jelasnya.