• Mohd Rawi Mohd Rawi
1 / 1
ALOR SETAR - Peguam syarie yang beragama Islam sahaja dibenarkan berkhidmat di Mahkamah Syariah di Kedah, apabila pindaan Seksyen 46, Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman)(Pindaan) 2014, diwartakan kelak.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pindaan ini adalah langkah proaktif kerajaan negeri untuk mengelak insiden seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan berulang di negeri ini, apabila bukan Islam memohon untuk bergelar peguam syarie.

“Pada persidangan Dun yang berakhir Rabu lalu, pindaan dibuat pada Seksyen 46(1)(3)(a) dan (b); (4) dan perenggan baru 46 (3)(c); bagi memperjelas Peguam Syarie hendaklah terdiri daripada orang Islam sahaja, dan pegawai syariah dalam perkhidmatan awam persekutuan dan negeri boleh diterima beramal di Mahkamah Syariah,” katanya.

Menurutnya, pindaan itu ialah dengan memasukkan selepas perkataan ‘mana mana orang’, dengan perkataan ‘Islam’, agar hanya peguam yang beragama Islam layak beramal di negeri ini.

“Kita ambil pengajaran apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan, apabila peguam bukan Islam Victoria Jayaseele Martin mohon untuk beramal sebagai peguam syarie, dengan alasan mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang berkaitan,” katanya.

Mohd Rawi berkata, dengan beranggapan fenomena itu (permohonan oleh peguam bukan Islam yang memiliki kelulusan) berterusan, kerajaan negeri mengambil tindakan awal untuk meminda enakmen 2008 bagi mengelak wujudnya pertelingkahan undang-undang pada masa depan.

“Jika alasan kelayakan dengan memiliki pengetahuan dalam Islam sahaja tidak mencukupi, kerana untuk berhujah dalam Mahkamah Syariah, peguam terbabit perlu merujuk pada hujah dari al-Quran dan hadis, bukan kupas fakta kes semata-mata,” katanya.

Menurutnya, peguam terbabit juga perlu memiliki kepercayaan dan keimanan pada sumber yang dijadikan rujukan iaitu, al-Quran dan hadis selain mengagungkan undang-undang yang dirujuk, di mana ia tiada dalam jiwa bukan Islam.

“Saya agak terkilan apabila beberapa Adun daripada Pas bersetuju agar bukan Islam boleh bergelar peguam syarie dengan alasan mereka boleh belajar dan mengenali Islam. Saya tidak boleh terima alasan itu, kelak timbul masalah lebih besar jika bukan Islam berdebat mengenai perkara-perkara syariah,” katanya.

Mohd Rawi menegur sikap Adun Pas yang terlalu lantang membangkang tindakan kerajaan negeri, sehingga isu agama Islam turut dipersoalkan.

“Saya bersyukur pindaan enakmen itu akhirnya berjalan lancar. Tiada masalah untuk bantah, namun jangan sampai kita lupa pada masalah yang akan timbul pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan juga menetapkan peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah seorang Islam, di mana beberapa negeri sudah pun mewartakannya dalam enakmen negeri masing-masing.

“Kedah juga akan fatwakan, setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam masa terdekat. Ini antara usaha dalam mengukuhkan undang-undang Islam selain elak buka ruang kepada peguam bukan Islam bergelar peguam syarie,” katanya.