KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Disember ini bagi penghujahan akhir permohonan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi Dun Bukit Besi, Mohd Mohd Shamsul Mat Amin.
 
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu berikutan kegagalan kali kedua pihak plaintif mengemukakan seorang lagi saksi daripada akhbar Kosmo untuk memberi keterangan.
 
Peguam mewakili Abdul Hadi, Asmuni Awi memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan tarikh itu berikutan seorang saksi plaintif daripada akhbar Kosmo tidak hadir sungguhpun waran tangkap telah dikeluarkan, tetapi waran tangkap itu tidak dapat dilaksanakan.
 
Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, bagaimanapun kira-kira 300 penyokong beliau hadir di perkarangan mahkamah.
 
Pada 28 Oktober lalu, Abdul Hadi dan Adun Alur Limbat, Ariffin Deraman memberi keterangan sebagai saksi defendan manakala plaintif memanggil seorang saksi iaitu Adun Bandar, Azan Ismail bagi memberi keterangan.  
 
Pada 23 Februari lepas, Abdul Hadi diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan Shamsul pada 5 Disember tahun lalu.
 
Pada 27 Februari lepas, Abdul Hadi memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.
 
Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
 
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - Bernama