• Ahmad Yakob
1 / 1
KOTA BHARU - Pemimpin pakatan dinasihatkan tidak mengkritik hal dalaman yang berlaku dalam parti secara terbuka terhadap Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang.

Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob membuat teguran tersebut apabila pemimpin pakatan berkenaan membangkitkan isu dan ia sepatutnya diselesaikan secara dalaman.

“Tidak ‘comel’ kita bangkitkan perkara yang boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli dalam pakatan sama ada Pas, DAP dan PKR.

“Kita sepatutnya boleh menyelesaikannya secara peringkat dalaman kerana kita ada forum dalaman,” katanya kepada media selepas melawat Pameran Ular di Muzium Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu serangan terhadap Abdul Hadi oleh pemimpin PKR dan DAP berhubung ketidakhadirannya semasa mesyuarat sebelum ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ahmad berkata, sebagai seorang presiden, Abdul Hadi juga mempunyai tugasan yang sibuk di luar negara seperti membentangkan kertas kerja dan sebagainya.

“Tidak semua masa kita dapat sesuaikannya dan sebagai ahli parti kita kena hormat dan sayang kepada presiden,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri berpuas hati apabila pihak penganjur pameran berkenaan mematuhi Enakmen Hiburan yang ditetapkan.

Sehingga semalam, seramai 43,138 pengunjung hadir sepanjang Pameran Ular berkenaan. Pameran tersebut bermula 3 November lalu sehingga 3 Disember nanti bagi mendedahkan masyarakat mengenai spesis eksotik tersebut.