• Ahmad Yunus Ahmad Yunus
1 / 1
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pas Selangor menggesa DAP dan PKR memahami terlebih dahulu perundangan hudud, sebelum membantah pelaksanaannya.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, hudud memerlukan pemahaman mendalam, bukan sekadar berlandaskan persepsi politik.

“Persepsi yang dimainkan ialah orang bukan Islam juga akan kena hukuman hudud. Sekarang ini mainan persepsi seolah-olah memecah-belahkan rakyat dan kepimpinan.

“Bagaimanapun, akibat kurang kefahaman ia menggambarkan hudud lebih kepada bentuk hukuman, sebaliknya al-Quran menggariskan perundangan Islam ini berbentuk pengajaran,” katanya selepas perasmian Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Jabatan Agama Islam Selangor Kali Kedua 2014, semalam.

Adun Sijangkang itu berkata, undi rakyat tidak akan dipengaruhi persepsi politik seperti yang digusarkan DAP kerana menurutnya, hudud ialah satu bentuk cara hidup yang perlu difahami.

“Pendidikan dan kefahaman penting sebelum hudud dilaksana. Sebab itu saya katakan Selangor belum bersedia laksanakan hudud seperti di Kelantan.

“Di Selangor mungkin belum lagi. Perkara penting ialah beri kefahaman dan pendidikan kepada masyarakat. Rakyat masih tidak sedia dan belum faham undang-undang Islam (hudud), jadi agenda utama kita, memberikan pemahaman,” katanya.

Beliau turut menangkis dakwaan bahawa isu hudud ini akan mengheret Pas keluar daripada komponen PR.

“Ketidakselarian ini disebabkan oleh isu-isu yang berlaku, namun jangan hanya dilihat perbezaan, sebaliknya persamaan diperjuangkan dalam PR.

“Di peringkat negeri sendiri, ada perbincangan mantap supaya kefahaman dicapai di peringkat kepimpinan, daerah, Parlimen dan kawasan,” katanya.