• Parti PAS Parti PAS
1 / 1
ALOR SETAR - Dewan Ulama Pas Kedah kesal dengan penganjuran Miss Tourism International: Show Extravaganza kerana menyalahi hukum syarak selain melanggar ketetapan fatwa.

Setiausahanya, Ahmad Yahaya berkata, acara seperti itu tidak mewakili budaya, identiti dan simbol masyarakat di negara ini, malah tidak membawa keuntungan dalam aspek ekonomi secara nyata mahu pun sektor pelancongan tempatan.

“Program seumpama itu juga tidak memanfaatkan banyak pihak melainkan mereka yang berkepentingan. Perlukah acara itu diadakan di Langkawi khususnya Malaysia? Sedangkan kita membawa imej ketimuran dan anjurkan pelbagai acara tahunan bertaraf dunia seperti musabaqah al-Quran hingga meletakkan negara ini julukan negara Islam contoh,” katanya.

Menurutnya, Dewan Ulama Pas Kedah menolak sebarang penganjuran program seumpama itu di Kedah, yang mencampuradukkan aktiviti maaruf dan mungkar.

“Adakah perkara ini dirujuk kepada Jabatan Mufti terlebih dahulu. Kita tidak mahu usaha menjadikan Langkawi Permata Kedah sebagai pulau pelancongan Islamik dan dibatasi unsur maksiat bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak, kini dicemari semula dengan imej-imej demikian,” katanya.