• Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
1 / 1
SHAH ALAM - Langgar syarat perjanjian antara punca mengapa Pemuda Pas Pusat membatalkan pertemuannya dengan Wira Perkasa pada saat akhir, semalam.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizat Kaiat berkata, beliau juga kesal apabila Wira Perkasa didakwa tidak memenuhi permintaannya untuk tidak melibatkan pihak media pada pertemuan itu.

"Bila saya kesan (maklumat bocor) pada malam itu (kelmarin), media sudah tahu pertemuan itu, bila saya dapat tahu, jadi saya tiada pilihan dan terus batalkan saja.

"Kita tidak mahu libatkan media, bukan sebab kita tidak percaya kepada pihak media, tetapi kita khuatir benda itu mudah disalahtafsirkan.

"Kita pun tiada halangan hendak jumpa tetapi kita ada syaratnya, tetapi syarat itu tidak dipenuhi, pada kita tidak perlu berjumpa," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas reaksi Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang kesal dengan tindakan Pemuda Pas Pusat yang membatalkan pertemuan mereka semalam.

Irwan juga mahu Pemuda Pas Pusat menyatakan sebab pembatalan pertemuan tersebut secara jelas untuk mengelakkan persepsi negatif.

Mengulas lanjut, Suhaizan juga menafikan pembatalan pertemuan itu dibuat di saat akhir atas nasihat pimpinan tertinggi Pas Pusat.

"Tiada, ia keputusan saya sendiri sebab bila begitu (buat liputan media) ia sudah ingkar (perjanjian) daripada permintaan kita (Pas).

"Kita sudah tahu siapa (bocorkan maklumat) tapi kita dapat maklumat daripada media, mereka akan hadir pada pertemuan itu," ujarnya.

Ditanya jika Pemuda Pas Pusat boleh memberi peluang kedua kepada Wira Perkasa, Suhaizan berkata ia bergantung kepada keyakinannya dan jika ada keperluan mendesak.

"Saya pun tidak pasti, tengoklah keadaan macam mana, kalau ada keperluan, bolehlah adakan pertemuan.

"Kalau ada keyakinan baharu saya, boleh lah, kalau tiada keyakinan baharu, mungkin tiada pertemuan lain," jelasnya.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata lagi, kekhuatiran Pemuda Pas Pusat ialah apabila mereka dilabelkan ekstrem dengan mengadakan hubungan atau kerjasama dengan Perkasa.

"Kita tidak mahu nanti digambarkan persepsi bahawa Pemuda Pas ini mengambil laluan ekstrem seperti Perkasa.

"Itu kita hendak elakkan, kita ambil kaedah sederhana dalam perkara ini dalam politik negara," katanya lagi.