• Mohamed Nazri (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja seharinya di JPO, Johor, semalam. Mohamed Nazri (tengah) ketika mengadakan lawatan kerja seharinya di JPO, Johor, semalam.
1 / 1
KULAIJAYA - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan diminta untuk membincangkan soal mengecualikan visa kepada pelancong dari China yang masuk ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perkara itu  bagaimanapun telah dinyatakan di dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

“Kabinet sepatutnya sudah berbincang berkenaan soal mengecualikan yuran visa kepada pelancong dari China.

“Tetapi, apabila kita mengadakan Mesyuarat Kabinet pada hari ini (semalam), Kabinet merasakan itu kita perlu berbincang mengenai soal ini (mengecualikan terus visa untuk pelancong China),” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja di pusat beli -belah Johor Premium Outlet (JPO) di sini, semalam.

Mohamed Nazri berkata, berikutan itu kementeriannya bersama Kementerian Dalam Negeri sudah diarahkan untuk menyediakan ‘kajian impak’ sekiranya keputusan mengecualikan visa kepada pelancong China dilaksanakan.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saya, selaku Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, telah diarahkan untuk menyediakan apa yang dikatakan impact paper.

“Kedua-dua kementerian perlu memberikan apakah impak dan implikasi sekiranya keputusan mengecualikan visa terhadap pelancong dari China dilaksanakan.

"Kita diminta menyediakan kertas ini pada minggu depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri memberitahu, tragedi yang menimpa dua pesawat MAS dan penculikan di pantai timur Sabah, turut memberi kesan kepada usaha keranaan menggalakkan pelancongan pada tahun lalu.

Mohamed Nazri memberitahu, kementeriannya tidak menolak kemungkinan sasaran kehadiran pelancong seramai 28 juta sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, gagal dicapai seperti yang diharapkan.

“Sewaktu saya mengadakan perjumpaan dengan pengarah-pengarah pelancongan luar negara dan pengarah pelancongan negeri di Kuala Lumpur pada Isnin lalu, kita telah dimaklumkan terdapat kekurangan seramai 540,000 pelancong dari China jika dibandingkan dengan tahun 2013 yang disabitkan oleh tragedi yang berlaku pada tahun lalu.

“Oleh kerana itu, kita tidak dapat 28 juta pelancong seperti yang telah disasarkan.

"Tetapi saya masih percaya bila kita kumpul maklumat (data) ini nanti, walaupun gagal capai sasaran, saya jangkakan ia (jumlah pelancong dan hasil pendapatan) lebih baik dan melebihi prestasi tahun 2013," katanya.