• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
SHAH ALAM  - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa untuk mengadakan sidang khas Parlimen berkaitan penstrukturan semula Bajet 2015.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia bagi membolehkan kedua belah pihak antara kerajaan dan pembangkang membincangkan solusi berkaitan ini kandungan Bajet  2015.

“Pihak kami di peringkat awal lagi mengingatkan kerajaan pimpinan PM Najib agar Bajet 2015 yang dibuat itu mestilah mengikut unjuran semasa harga minyak.

“Kita baru sahaja dilanda musibah besar banjir yang mengakibatkan kerugian berbillion ringgit dan pastinya kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan luar jangkaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Najib ditanya sama ada kerajaan akan membuat peruntukan semula bajet tahun ini berikutan beberapa kejadian besar yang tidak dijangka seperti kejatuhan harga minyak global serta banjir yang melanda pantai timur semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun jelas Najib, kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut hanya akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

Tambah Mahfuz lagi, dengan cara itu, kesemua pihak dapat memastikan proses penstrukturan tersebut dibuat melalui tatacara yang betul.

“Kerajaan mungkin masih berada di dalam ‘denial syndrome’ iaitu menafikan hakikat ekonomi kita dalam keadaan kritikal dan parah. Bahayanya penyakit ini jika terus dibiarkan akan menyebabkan langkah mengubatinya nanti sudah pun terlewat.

“Kami minta PM agar segera memanggil sidang khas Parlimen untuk kita semua dapat sama-sama berbincang dan berbahas untuk mencari penyelesaian kepada isu ekonomi negara yang kian meruncing ini,” katanya lagi.