• DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDINDR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
 1 / 1 
SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk tidak terus membiarkan pelarian Rohingya bersabung nyawa di lautan, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
 
Beliau berkata, sebagai sebuah negara Islam yang terkenal dengan sikap toleransi, tidak sepatutnya Malaysia membiarkan pelarian tersebut.
 
“Sedih atas kekejaman sikap Muslim yang sanggup melihat saudara Muslim mereka mati kehausan dan kelaparan. Setelah umat Islam Rohingya dibunuh dengan rakus dan kejam oleh sami-sami Buddha di bumi mereka, mereka berhijrah mencari perlindungan di negara Islam seperti kita. Malangnya, mereka diperlakukan demikian rupa. Tanpa ada belas ehsan kemanusiaan, apatah lagi ukhuwah keagamaan,” katanya.
 
Menurutnya, jika tidak ditimpa musibah, sudah tentu etnik Rohingya itu tidak menggadai nyawa meredah lautan untuk mencari tempat perlindungan.
 
Katanya, tidak akan hilang kekayaan negara sekiranya berkongsi rezeki yang ada dengan umat manusia yang lain.
 
“Atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan. Kita lupa bahawa, jika ALLAH kehendaki rezeki yang di tangan pun boleh hilang.
 
“Ke mana rezeki itu telah pergi? Mayat pesawat yang terhempas di lautan yang hampir yakin mati masih kita cari, sedangkan yang masih hidup di lautan kita cuba biarkan mati. Di manakah kemanusiaan kita ini?” soal Asri menerusi laman Facebooknya, semalam.
 
Katanya, tidak guna kerajaan belanjakan ratusan ribu untuk penganjuran majlis-majlis ilmu tetapi isu kemanusiaan seperti itu tidak boleh ditangani.
 
Beliau juga bimbang keengganan Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya itu boleh menyebabkan negara ditimpa musibah yang lebih buruk.
 
“Jika sebelum ini beberapa petanda bala demi bala datang kepada pentadbiran negara, atas sebab musabab yang hanya Tuhan Maha Ketahui apa telah berlaku.
 
”Kehilangan kemanusiaan ini dibimbangi menjemput kemurkaan Tuhan di lautan dan di daratan. Pohon perlindungan ALLAH untuk sekalian rakyat yang tidak bersalah,” katanya.